Kem silat negara meneruskan rentetan aksi cemerlang dalam Kejohanan Silat Dunia dengan kemaraan tiga lagi wakil ke pentas akhir di MiTC, Melaka malam tadi.

Rentak cemerlang itu bermula dengan kejayaan Muhammad Shukrillah Badrilah dalam saingan silat seni solo kreatif putera.

Shukrillah, yang merupakan juara kebangsaan 2019, mempamerkan persembahan memukau khususnya ketika melakukan disiplin peralatan kegemarannya, iaitu sabit dan keris, sehingga menyakinkan barisan juri dan menoktahkan cabaran pesilat dari Filipina, Alfau Jan Abad, untuk ke final.

Rentak cemerlang itu dituruti pesilat muda, Merrywati Manuil, dalam acara silat seni solo kreatif puteri.

Pesilat berusia 21 tahun itu, yang menceburi dunia persilatan seawal usia sembilan tahun, selangkah untuk mencipta sejarah bergelar juara dunia menerusi penampilan pertamanya apabila layak ke final dengan catatan 9.950 mata

Melengkapkan malam gemilang skuad silat negara adalah regu putera, yang dibarisi Luqman Laji, Nashrul Edzam Mohd Asri dan Muhammad Syafiq Ibrahim, selepas layak ke final acara berkenaan juga dengan catatan terbaik 9.950 mata.