Skip to main content

Sukan Lain

Kejohanan Dunia Kenu Polo: Skuad negara uji kemampuan di pentas tinggi

kanu.jpg
Jurulatih kenu polo negara, Zulhelmy Zachariah, menganggap penyertaan skuad B-21 negara dalam Kejohanan Dunia ICF 2018 di Welland, Kanada, hujung minggu ini sebagai peluang terbaik untuk meraih pendedahan di peringkat tertinggi.

Ini merupakan kali kedua Malaysia menyertai Kejohanan Dunia Kenu Polo selepas edisi 2014 di Perancis.

Namun, ketika itu pembabitan skuad negara dalam acara terbuka, berbeza dengan edisi kali ini apabila skuad B-21 mendapat tiket 'wildcard' untuk beraksi.

Ia susulan pencapaian meraih tempat ketiga Kejohanan Kenu Polo Asia di Batu Pahat, Johor, tahun lalu.

Lantaran itu, peluang beraksi dalam Kejohanan Dunia dilihat satu lagi peluang terbaik untuk skuad negara membuktikan kemampuan berbanding negara lain, khususnya dari Eropah.

"Kami mengadakan latihan pusat pada setiap bulan.

"Selain itu, atlet akan menjalani latihan masing-masing di tempat sendiri sempena menghadapi kejohanan ini," kata Zulhelmy ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) sebelum skuad negara berlepas ke Kanada, hari ini. 

Seramai tujuh atlet di samping dua jurulatih akan membawa cabaran negara di Welland nanti.
 

Advertisement

Must Watch Video