Atlet para negara, Abdul Latif Romly, berkata kejayaan rakan sepasukan, Ridzuan Puzi dan Ziyad Zolkefli, telah memberikan semangat buatnya untuk meraih kejayaan memenangi pingat emas dalam acara lompat jauh T20 Sukan Paralimpik Rio 2016.
Atlet kelahiran Perlis itu menjadi atlet ketiga negara untuk membawa pulang pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016 selepas melakukan catatan 7.60 meter, mengetepikan pesaing dari Croatia, Zoran Talic, pingat perak (7.12m) dan gangsa milik Dmytro Prudnikov dari Ukraine (6.99m).
Latif berkata kejayaan Ridzuan serta Ziyad memberikan semangat serta keyakinan untuknya memburu kejayaan buat negara.
"Sebelum hari pertandingan, saya telah menyaksikan Ziyad dan Ridzuan meraih pingat emas, kejayaan mereka telah menjadi semangat buat diri saya," katanya ketika ditemubual dalam Nadi@1 di Astro Arena, hari ini.
"Pada hari pertandingan, lompatan pertama saya telah dibatalkan kerana melepasi papan putih ketika melakukan lompatan. Pada lompatan kedua, saya melakukan 7.47m dan telah memecah rekod dunia. Pada lompatan yang kelima, saya memperbaharui rekod dunia saya dengan catatan 7.60m," tambahnya.
Latif turut berkongsi kesukaran yang dihadapinya ketika persiapan ke Rio, termasuk kecederaan belakang yang dialami sebelum Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016.
"Saya mengalami kecederaan belakang sebelum Sukma 2016, ia telah menjejaskan sedikit persiapan saya dan menjatuhkan sedikit semangat saya.
"Saya bersyukur kerana berjaya pulih selepas menjalani proses pemulihan. Kejayaan di Sarawak telah memberikan keyakinan buat saya menghadapi cabaran di Rio."
Atlet berusia 19 tahun itu turut memberitahu bahawa dia mahu membantu keluarga dengan membina rumah baru hasil daripada wang ganjaran yang akan diterimanya.
Sukan Lain
Kejayaan Ridzuan, Ziyad beri semangat buat Latif
Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena