Skip to main content

Sukan Lain

KBS beri peruntukan RM170,000 kepada MDF

khairy24218.jpg
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberikan peruntukan berjumlah RM170,000 kepada Persekutuan Dodgeball Malaysia (MDF) susulan kejayaan skuad negara dalam Kejohanan Asia Pasifik, tahun lalu.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, peruntukan tersebut merangkumi dua aspek, iaitu kos penyewaan Arena Axiata yang menjadi gelanggang Kejohanan Asia Pasifik, September lalu, iaitu sebanyak RM120,000.

Baki RM50,000 pula merupakan insentif kepada skuad negara atas kejayaan menyapu bersih semua kejuaraan dalam bahagian lelaki, wanita serta campuran.

Hasil daripada pencapaian itu, mereka layak secara automatik ke saingan Piala Dunia yang akan berlangsung di New York, Amerika Syarikat, Ogos depan.

Khairy berkata demikian pada majlis makan malam anjuran MDF yang turut dihadiri presidennya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Kuala Lumpur, semalam.

"Saya sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha (KSU), sebahagian besar daripada hutang tersebut untuk sewaan stadium dan sebagainya berjumlah RM120,000, kami tanggung dan taja Persekutuan Dodgeball Malaysia.

"Dan di atas pengiktirafan kejayaan pasukan kita, saya ingin menyumbang kepada pasukan dan atlet RM50,000 sebagai insentif," kata Khairy.

Sementara itu, kapten skuad negara, Muhamad Heidy Mohd Yusoff, yakin Malaysia lebih bersedia untuk menghadapi Piala Dunia kali ini selepas muncul naib juara pada edisi 2016 di Manchester, England.

"Sebab itu kami digelar pasukan bukan pilihan dan apabila kami berada di kedudukan kedua dalam dunia, semua orang mahu kami menang.

"Dalam Piala Dunia ini, saya tahu mereka mahu kami menang. Diharapkan ia boleh dilakukan," kata Heidy.

Must Watch Video