Skip to main content

Sukan SEA

Karim beri jaminan insiden 'false start' tidak berlaku di Kuala Lumpur

11717karimibrahim.jpg
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim, memberi jaminan insiden 'false start' seperti ditimpa Khairul Hafiz Jantan tidak akan berlaku dalam Sukan SEA bulan depan.

Ketika aksi akhir Kejohanan Olahraga Asia (ATF) ke-22 di India, Sabtu lalu, Khairul Hafiz berpeluang cerah untuk meraih emas selepas melakar catatan masa terpantas 10.24 saat dalam separuh akhir, namun kesilapan ketika permulaan mengakibatkan lariannya dibatalkan.

Sehubungan itu, pentingnya untuk penganjur menguji terlebih dahulu sebarang sistem teknikal dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang bermula Isnin ini agar situasi sama tidak berulang dalam Sukan SEA.

"Ia melibatkan mesin, bukan saya yang cipta tetapi apa yang berlaku dalam kejohanan di India tidak akan berlaku di sini (Kuala Lumpur). 

"Kami akan berusaha dan memaklumkan kepada bahagian teknikal untuk mereka mengambil berat. Kami akan menentukan ia tidak berlaku dalam Sukan SEA nanti," katanya.

Secara keseluruhan, Karim berpuas hati dengan aksi konsisten yang ditampilkan barisan atlet olahraga di India selain menyifatkan mereka bakal melakar kejutan dalam temasya bulan depan.

"Selepas ketibaan, saya sudah maklumkan kepada mereka agar bekerja bersungguh-sungguh dan tinggalkan semua perkara yang tidak perlu. 

"Saya yakin Khairul Hafiz dapat memenangi pingat emas dalam Sukan SEA kerana dia beraksi konsisten," tambahnya.

Pencapaian Khairul Hafiz Jantan

Kejohanan Olahraga Asia di India (Julai): 
• 10.24s

Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand (Jun):
• 10.31s

Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura (April): 
• 10.86s

Kejohanan Speed Series 2 di Afrika Selatan (Mac): 
• 10.39s

Advertisement

Must Watch Video