Skip to main content

Hoki

Juliani mahu ke Piala Dunia sebelum bersara

juliani.jpg

Pertahanan negara, Juliani Mohamad Din, bertekad memastikan slot Malaysia ke Kejohanan Liga Hoki Dunia Wanita Akhir sebelum menyimpan kayu hokinya.

Juliani,  yang memiliki 198 penampilan bersama skuad negara, menyematkan hasrat besar mencetus sejarah bersama skuad kebangsaan.

Pemain kelahiran Sabah berusia 32 tahun ini tidak rela berputih mata beraksi di peringkat dunia memandangkan itu antara sasaran terakhirnya sebelum bersara.

"Sebagai pemain lama, saya memang sasar untuk mara ke final. Kami mahu pergi ke Kejohanan Liga Dunia Pusingan Ketiga dan selepas itu ke Final.

"Sebelum saya bersara, saya juga berharap dapat beraksi dalam Piala Dunia," katanya.

Sementara itu, reputasi yang dibawa pemain tengah, Nuraini Abdul Rashid, meletakkannya selaku harapan utama mencipta perbezaan jaringan sepanjang kelayakan Liga Hoki Dunia Pusingan Kedua.

Nuraini sudah bersedia sepenuhnya dan menegaskan tumpuan penuh kepada peluang 'set piece' ketika latihan, menjadikannya lebih yakin.

Sudah pasti impian beraksi di pentas final menjadi sasaran pasukan kerana ia akan memberikan slot ke separuh akhir Liga Hoki Dunia nanti.

"Sudah tentu tanggungjawab itu satu tekanan kerana ketika pukulan sudut penalti, penting untuk menjaringkan gol.

"Sebagai flicker, ia satu cabaran yang besar tetapi saya akan berusaha menghadapi tekanan ini dengan tenang," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, jurulatih skuad wanita kebangsaan, Dhaarma Raj Abdullah, berharap anak buahnya mampu memberi kejayaan terbaiknya dalam kejohanan kali ini.

Dhaarma yang sudah setahun membimbing skuad  ini mengimpikan kejayaan besar layak ke separuh akhir Liga Hoki Dunia dengan syarat mara ke final pusingan kedua ini.

"Kalau kami layak ke final, saya akan anggap ini satu hadiah.

"Saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkannya sekiranya kami diberikan peluang itu. 

"Bagaimanapun, saya tidak memikirkan perkara itu. Apa yang penting, saya mahu pasukan ini mara ke separuh akhir," katanya.

Dalam sesi latihan terakhir pada Jumaat, Dhaarma masih menekankan latihan 'set piece' sebagai persediaan mendepani sebarang kemungkinan andai perlawanan berakhir dengan keputusan seri.

Malaysia akan memulakan aksi pertama menentang Hong Kong, esok.

Advertisement

Must Watch Video