Skip to main content

Sukan Lain

Jeganathan: Emas lebih penting berbanding rekod

jega-030717.jpg
Jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan, tidak mahu enam atlet yang menyertai Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London terlalu fokus untuk memperbaharui rekod, sebaliknya cukup sekadar memburu pingat emas.

Dia tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi dan hanya mengharapkan anak buahnya dapat mengulangi pencapaian dua pingat emas yang pernah diraih oleh Ridzuan Puzi dan Abdul Latif Romly di Doha, dua tahun lalu.

Jeganathan juga mahu atletnya sedar bahawa nilai pingat emas jauh lebih tinggi berbanding memperbaharui rekod.

"Masa dan jarak itu bukan perkara utama kerana apa yang penting adalah bendera Malaysia berkibar dan meraih pingat emas," katanya.

Selain Ridzuan dan Latif, turut membawa cabaran negara di London adalah Muhammad Ziyad Zolkefli, Mohamad Saifudin Ishak dan Mohd Nasharuddin Mohamad.

Mereka bakal berlatih di Universiti Brunel, London terlebih dahulu sebelum memulakan aksi kejohahan pada 14 Julai.

"Banyak pasukan yang turut berlatih di sana dan kami akan mengambil kesempatan untuk mendapatkan ilmu dan juga pendedahan," tambahnya.

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video