Skuad hoki wanita negara tunduk 2-1 kepada Ireland dalam perlawanan kedua Kumpulan B, Liga Hoki Dunia Wanita Pusingan Kedua di Stadium Tun Razak malam ini, sekaligus menyekat hajat mereka untuk berada di kedudukan teratas kumpulan.
Aksi bertenaga serta kebangkitan yang ditunjukkan oleh Malaysian Tigress ternyata masih belum cukup untuk menghalang Ireland daripada terus meraih kemenangan.
The Green Army terlebih dahulu mengejutkan pasukan tuan rumah seawal minit kelima menerusi jaringan padang kapten pasukan, Chloe Watkins.
Tersentak dengan jaringan awal itu, anak buah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah cuba untuk bangkit memberikan saingan, namun gagal menemui sebarang gol pada suku pertama.
Lima minit selepas suku kedua bersambung, Malaysia mempunyai peluang terbaik untuk mengikat kedudukan tetapi Malaysian Tigress gagal untuk menyempurnakan peluang tersebut.
Skuad negara sekali lagi dihidangkan peluang terbaik untuk mencetak gol pertama menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-25, namun pukulan Nuraini Abdul Rashid berjaya ditepis oleh penjaga gol Ireland, Ayeisha McFerran.
Dalam aksi suku ketiga, kedua-dua pasukan terus menggandakan usaha untuk mencari gol. Malaysia, yang dihadiahkan pukulan sudut penalti keempat, masih terus buntu untuk menterjemahkan pukulan tersebut kepada jaringan.
Skuad negara juga nyaris dihukum dengan gol kedua pada penghujung suku ketiga, namun ketangkasan pemain negara untuk memberikan bantuan kepada penjaga gol, Farah Ayuni Yahya, menyelamatkan pintu gol negara daripada terus dibolosi.
Gawang pasukan negara akhirnya sekali lagi dibolosi pada minit ke-52 apabila jaringan padang Anna O’Flanagan gagal dinafikan oleh Farah Ayuni. Cuma,jaringan tersebut tidak meruntuhkan semangat skuad negara apabila gol pertama Malaysia hadir dua minit kemudian menerusi Hanis Nadiah untuk menjadikan kedudukan 1-2.
Kebangkitan terus ditunjukkan oleh skuad negara dalam minit-minit terakhir perlawanan. Beberapa saat sebelum perlawanan berakhir, Malaysia sekali lagi menerima pukulan sudut penalti dan juga peluang terakhir untuk mengikat kedudukan tetapi penjaga gol Ireland menidakkan peluang skuad negara. Keputusan 1-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Dalam pada itu, Hong Kong yang tewas 0-9 di tangan Malaysia dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan, gagal untuk melakar kebangkitan.
Mereka tewas 0-2 kepada Kazakhstan menerusi penentuan pukulan penalti, selepas perlawanan berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 hasil jaringan padang oleh Vera Domashneva (m-6) dan tiga minit kemudian, giliran Chan Ching Nam menyamakan kedudukan buat Hong Kong.
Dua gol pukulan penalti Kazakhstan dijaringkan oleh Symbat Sabazova dan Alissa Chepkassova.
Keputusan Kumpulan B: Kazakhstan 1 Hong Kong 1 (Kazakhstan menang 2-0 menerusi penentuan pukulan penalti); Malaysia 1 Ireland 2.
Jadual perlawanan esok (17 Jan, 2017):
Kumpulan A: Itali lwn Singapura (1.45 ptg); Wales lwn Thailand (4.00 ptg).
Kumpulan B: Ireland lwn Hong Kong (6.15 ptg); Kazakhstan lwn Malaysia (8.30 mlm).