Skip to main content

Hoki

Inilah persembahan terbaik kami -- Amin

26117mohammadamin.jpg
Jurulatih Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mohammad Amin Rahim, memuji persembahan anak buahnya sekalipun terikat 2-2 dengan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dalam pertembungan sengit Liga Hoki Malaysia (LHM) di Stadium Hoki Kuala Lumpur, semalam.

TNB, yang dibarisi 100 peratus pemain tempatan, berjaya memberi tentangan sengit terhadap KLHC yang menyenaraikan pemain import berkualiti seperti Umar Bhutta dalam perlawanan itu.

Beberapa gerakan menarik memerangkap pertahanan KLHC sehingga TNB berjaya menjaringkan dua gol menerusi Norhizzat Sumantri dan Mohamad Zulhamizan Awang.

"Selepas lima perlawanan, ini adalah persembahan terbaik pasukan saya. Saya memuji kesungguhan setiap pemain.

"Bagaimanapun, kami masih lagi tidak dapat belajar untuk kekal menguasai permainan. Ini adalah salah satu proses untuk pemain belajar bagi perlawanan akan datang," katanya.

Jurulatih KLHC, Harun Al Rashid Samri, jelas kecewa apabila menyaksikan pasukannya bergelut dalam perlawanan itu.

Apatah lagi, mereka hampir-hampir dimalukan TNB, sebelum Mohd Syamim Yusof menjaringkan gol penyamaan pada minit 57 selepas ketinggalan 1-2. 

"Kami amat terjejas dalam persaingan mengutip mata. Ini adalah keputusan yang menyakitkan hati," katanya.

Keputusan itu menyaksikan KLHC berada di tempat kedua liga dengan 14 mata manakala TNB mengekori rapat di tempat ketiga dengan 13 mata.
 

Advertisement

Must Watch Video