GOLD COAST 2018
Hoki: Skuad wanita temui rentak kemenangan
MALAYSIA 1 WALES 0
Skuad kendalian Dhaarma Raj Abdullah meraih kemenangan sulung di peringkat kumpulan Sukan Komanwel Gold Coast selepas menang tipis 1-0 ke atas Wales di Pusat Hoki Gold Coast, sebentar tadi.
Skuad hoki wanita negara memasuki perlawanan ini dengan misi memperbaiki kedudukan dalam Kumpulan A.
Iklan
Malaysia dan Wales bermula agresif dalam usaha membuka tirai jaringan tetapi gagal memecahkan kebuntuan.
Pada suku kedua, sedikit tuah memihak kepada Malaysia yang membolehkan Hanis Nadia Onn merobek gawang skuad kendalian Roseanne Thomas itu untuk meletakkan Malaysia 1-0 di depan pada minit ke-23.
Wales berusaha mencari jaringan penyamaan selepas itu, namun dipatahkan penjaga gawang, Farah Ayuni Yahya, untuk menjulang Malaysia.
"Gol itu amat berharga kerana membolehkan kami meraih peluang dalam penentuan tempat ketujuh dan kelapan. Sebagai penyerang, sememangnya tanggungjawab saya untuk menjaringkan gol.
"Kami boleh menentang sesiapa sahaja tetapi untuk aksi seterusnya, kami harus lebih fokus," ujar Hanis.
England kini di persada Kumpulan A menerusi kutipan sembilan mata, diikuti pencabar terdekat, India.
Malaysia pula memintas Wales untuk berada di kedudukan keempat di belakang Afrika Selatan.
Dengan itu, Malaysia akan beraksi dalam penentuan tempat ketujuh dan kelapan, esok.
"Kami memberikan cabaran walaupun tampak bergelut.
"Kami harus mengekalkan pendahuluan untuk mendapatkan tempat dalam penentuan ketujuh dan kelapan," kata pemain negara, Juliani Mohamad Din.
Must-Watch Video