Skip to main content

Sukan Asia

Hoki: Jaringan kemenangan paling berharga buat Amirol

amirul-aideed_1.jpg
Gol kemenangan yang menjamin tempat kelima skuad hoki negara dalam Sukan Komanwel yang berakhir semalam, ibarat satu hadiah paling berharga milik pertahanan negara, Muhammad Amirol Aideed Arshad. 

Amirol tidak sangka mampu menjelmakan gol pertama dalam penampilan sulungnya di Gold Coast yang menjamin kemenangan 2-1 Malaysia ke atas scotland. 

"Alhamdulillah, saya bangga dengan diri sendiri dapat menjaringkan gol kemenangan untuk Malaysia.

"Tetapi saya tidak cukup berpuas hati kerana mengakhiri kempen di tempat kelima. 

"Banyak sangat yang perlu diperbaiki. Saya perlukan banyak lagi perlawanan dan latihan untuk sebaris dengan mereka," katanya. 

Ini menjadi bukti pemain muda berusia 23 tahun itu tidak mensia-siakan peluang yang diberikan jurulatih, Stephen Van Huizen, walaupun sebelum ini gusar tidak dipilih selepas terlibat kemalangan motosikal, Februari lalu. 

Amirol kali pertama dipilih bersama skuad negara dalam Piala Asia di Dhaka tahun lalu dan dia kini berharap prestasi di Gold Coast terus membuka mata Van Huizen untuk dia turut sama ke Sukan Asia Jakarta nanti.

"Semestinya saya akan berjuang untuk Sukan Asia. Saya mahu mendapatkan tempat dalam setiap kejohanan," katanya lagi. 

Advertisement

Must Watch Video