SUKAN SEA
Hoki Ais: Kehilangan tonggak utama punca turun kategori B
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bertindak tegas dengan menurunkan pangkat skuad hoki ais kepada kategori B dalam Sukan SEA Filipina, November depan, sekali gus menyaksikan penyertaan lebih ramai atlet kategori itu berbanding mereka yang layak secara merit.
Buat kali pertama dalam sejarah, atlet kategori B mendominasi senarai mereka yang layak dalam Sukan SEA.
Perubahan itu susulan tindakan terhadap skuad hoki ais yang terpaksa dilucutkan kelayakan kategori A ekoran pergolakan dalaman pasukan.
Iklan
Ia menyaksikan seramai 413 atlet akan diletakkan dalam kategori B dalam kempen di Filipina kelak, lebih 31 orang berbanding kategori A.
Kategori A pula terdiri daripada atlet yang layak secara merit, iaitu sekurang-kurangnya ranking ketiga Asia Tenggara sementara bagi kategori B, atlet yang sekurang-kurangnya menghuni ranking kelapan rantau ini terpaksa mengeluarkan kos sendiri untuk menyertai temasya Filipina 2019.
"MOM tidak begitu yakin bahawa skuad hoki ais menghantar pasukan terbaik kerana pengunduran pemain-pemain handalan mereka.
"Saya berasakan mereka gembira dapat menghantar pasukan dan kalau dapat menaiki podium, maka mereka bolehlah merujuk kembali kepada kami," kata Presiden MOM, Datuk Seri Norza Zakaria.
Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis MOM hari ini turut meluluskan penyertaan kontinjen terbesar Malaysia di luar Kuala Lumpur membabitkan 52 jenis sukan.
"Kategori B terbahagi kepada 1 dan 2.
"Atlet kategori B1 contohnya, mereka sedar kalau menang, maka mereka boleh buat tuntutan daripada MOM.
"Tetapi bagi atlet kategori B2, mereka menyertai Sukan SEA kerana mahu mendapat pendedahan. Mereka bukan di bawah MOM, mereka pergi kerana mahu menggalakkan sukan-sukan tersebut, jadi kami beri mereka peluang," tambahnya.
Presiden Persatuan Lawan Pedang Malaysia (MFF), Rusni Abu Hassan, menjelaskan mereka sememangnya bercadang untuk mengetengahkan atlet muda.
"Kemungkinan juga ada kejutan besar. Kalau tidak cuba, macam mana kita nak tahu keputusannya," katanya.
Presiden Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia (MSBF), Melvin Chia, pula mahu atletnya menjalani persiapan awal demi temasya akan datang dengan berkata: "Kalau atlet tidak dipersiapkan sekarang, tempoh dua tahun lagi berjalan pantas.
"Jadi, 60 peratus atlet yang dihantar kali ini memerlukan pendedahan."
Must-Watch Video