Skip to main content

Tenis

Halep yakin julang Grand Slam pertamanya

halep-090617.jpg
Simona Halep yakin dia mampu menamatkan penantian untuk memenangi Grand Slam sulungnya dan menjadi pemain nombor satu dunia dengan mengalahkan Jelena Ostapenko dalam final Terbuka Perancis, hujung minggu ini. 

Halep akan turun beraksi dalam final gelaran utama keduanya selepas melepasi halangan Karolina Pliskova 6-4, 3-6, 6-3 dalam pertembungan separuh akhir di gelanggang Philippe Chatrier, malam tadi.

Pemain pilihan ketiga itu terlalu ampuh buat Pliskova dengan mempelbagaikan taktiknya menerusi gerakan bijak di Roland Garros. 

Halep tewas dalam final 2014 di Paris, namun berkeyakinan untuk menjulang Piala Coupe Suzanne Lenglen itu, sekaligus merampas kedudukan Angelique Kerber di puncak ranking. 

Pemain dari Romania itu berkata: "Saya akan bermain untuk dua perkara: memburu Grand Slam pertama dan gelaran pemain utama dunia. Ia merupakan cabaran dan peluang besar. 

"Saya mempunyai rentak. Saya mempunyai mentaliti untuk menang dan ia pasti pertarungan yang sukar. Saya menjangkakan dia akan memberikan aksi terbaik, menyambut semua hantaran dan beraksi dengan penuh yakin. Begitupun, saya turut berkeyakinan. 

"Saya sudah bersedia untuk menghadapinya dan turun dalam satu lagi aksi final. Ia adalah cabaran dalam dua perkara serentak. Ia menakjubkan."

Kemaraan Pliskova melayakkan dia untuk muncul sebagai sebahagian daripada pemain kelas tinggi dunia, namun Halep dijangka akan mengulangi prestasinya untuk membuatkan Ostapenko kembali berpijak di bumi nyata. 

Ostapenko menyambut ulang tahun kelahirannya dengan mara ke perlawanan akhir selepas menundukkan Timea Bacsinszky 7-6 (7-4), 3-6, 6-3.

"Saya sangat gembira dengan kemenangan hari ini dan ia merupakan aksi yang sangat sukar. 

"Saya sangat gembira mara ke final, terutama pada hari jadi saya. Ia hadiah yang cukup bermakna.

"Saya agak tertekan tetapi tidaklah begitu hebat. Saya berjaya melangkah ke separuh akhir dan saya akan cuba untuk menikmati permainan (final) dan memberikan yang terbaik," kata pemain di ranking ke-47 dunia itu. 
 

Advertisement

Must Watch Video