SUKAN LAIN
Hakimi ambil risiko untuk layak ke Kejohanan Dunia
Atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail, sanggup mengambil risiko menyertai Terbuka Singapura dan Grand Prix Malaysia dalam tempoh empat hari kerana kesuntukan masa melepasi had kelayakan Kejohanan Olahraga Dunia di Qatar, September depan.
Hakimi antara atlet negara yang kecewa apabila Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) membatalkan penyertaan dalam Terbuka Filipina minggu lalu.
Ia sepatutnya menjadi kejohanan antarabangsa pertama tahun ini.
Iklan
Atlet olahraga itu terdesak menyertai kejohanan memandangkan masa kian suntuk untuk melepasi had kelayakan di mana Hakimi perlu melakukan sekurang-kurangnya catatan 16.95 meter (mengatasi rekod kebangsaan miliknya 16.77m) untuk ke Qatar.
Jadi, Hakimi tiada pilihan kecuali menyertai Terbuka Singapura dan GP Malaysia walaupun jadual ketat.
"Saya meletakkan tumpuan untuk beraksi dalam Terbuka Singapura terlebih dahulu sebelum memastikan penyertaan saya dalam GP Malaysia. Dua kejohanan ini sangat rapat dan tahap kecergasan saya bakal diuji untuk melakukan catatan terbaik," katanya.
Hakimi sudah mencatat kejayaan sulung tahun ini apabila merangkul pingat emas Kejohanan Olahraga Perak All Comers, bulan lalu.
Kebanyakan atlet olahraga perlu memilih sama ada menyertai Terbuka Singapura atau GP Malaysia kerana jadual kejohanan terlalu rapat bagi memastikan mereka dapat mempamer aksi terbaik.
Must-Watch Video