Skip to main content

Permotoran

Hafizh teruja kuasai selok-belok MotoGP

hafizh-syahrin_4.jpg
Hafizh Syahrin Abdullah muncul pelumba pertama negara dan Asia Tenggara yang bakal memperagakan aksi dalam kancah perlumbaan motosikal paling berprestij, MotoGP.

Monster Yamaha Tech 3 mencuri tumpuan apabila menaruh kepercayaan terhadap pelumba berusia 24 tahun itu yang menamatkan saingan Moto2 bersama Petronas Raceline Malaysia musim lalu di tangga ke-10.

Kini, dia berpeluang untuk berentap dengan idolanya, Valentino Rossi, selain Marc Marquez dan Dani Pedrosa. 

Bagi Hafizh, segalanya berlaku terlalu pantas dan ketiadaan Jonas Folger akibat masalah kesihatan membuka peluang buatnya. 

"Saya tidak meletakkan harapan pada 2018 tetapi saya bersyukur kerana rezeki ini datang begitu cepat. Sememangnya sejak sejak kecil lagi saya mengimpikan untuk menjadi pelumba MotoGP.

"Rezeki ini mengejutkan saya.

"Ketika itu, saya sedang menjalani latihan di Sepanyol, kemudian saya mendapat panggilan yang mengatakan saya tidak akan berlumba dalam Moto2 sehingga menimbulkan tanda tanya kepada saya. 

"Kemudian, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, berkata 'kita ada berita baik, kita akan berlumba dalam MotoGP'.

"Saya ingat macam main-main sebelum saya bertanya semula, 'betul ke Datuk?' dan beliau jawab, 'ini serius'.

"Sampai sekarang saya tidak percaya saya masih kekal dengan pasukan luar dalam kategori MotoGP," katanya dalam temubual Nadi@1 hari ini. 

Bagaimanapun, Hafizh perlu membuktikan potensinya terlebih dahulu dalam usaha meyakinkan barisan penaja dan berpeluang menguji jentera berkenaan di Litar Antarabangsa Chang, Buriram. 

"Saya sememangnya sudah bersedia untuk menghadapi saingan Moto2 bersama pasukan SIC Racing.

"Saya telah berlatih lebih keras berbanding tahun lepas kerana SIC Racing menyediakan pelatih dan kelengkapan yang cukup. 

"Saya bekerja keras selama dua minggu sebelum mendapat panggilan ke MotoGP. 

"Malah, saya perlu menyesuaikan diri dengan segera memandangkan saya sudahpun terlepas tiga sesi ujian sebelum kami menghadapi ujian terakhir di Qatar," katanya lagi. 

Sehubungan itu, Hafizh sedar dia perlu fokus 100 peratus demi memberi maklum balas terbaik kepada mekanik dan belajar secepat mungkin. 

"Saya tidak mahu membuang masa, saya sudah terlepas tiga sesi ujian dan dalam setiap kesempatan, saya akan memberikan yang terbaik supaya mendapat maklum balas yang lebih bagus.

"Kita tidak boleh membandingkan langsung di antara jentera Moto2 dan MotoGP. Elektroniknya, kuasa dan cara bekerja juga berbeza. 

"Saya mempunyai dua buah motosikal di hentian pit, kami perlu membuat pelarasan yang sama. 

"Insya-Allah saya akan buat yang lebih baik dalam ujian di Qatar nanti. 

"Saya nak ulas banyak pun sukar kerana masih berasa gemuruh sehingga ke hari ini. 

"Alhamdulillah, dalam masa tiga hari pengalaman pertama saya menunggang jentera MotoGP, saya dapat menyesuaikan diri dan gembira dengan ujian di Buriram. 

"Peluang ini untuk rakyat Malaysia mencipta sejarah. Apapun, saya perlu fokus dan ingin beri saingan kepada pelumba-pelumba senior," ujar penunggang yang menamatkan zaman bujangnya pada Disember lalu itu. 

 

Advertisement

Must Watch Video