Skip to main content

Permotoran

Hafizh contoh terbaik -- Razlan

razlan21218.jpg
Hafizh Syahrin Abdullah bakal beraksi dalam kelas perdana MotoGP tahun ini selepas menjalani sesi ujian selama tiga hari bersama Monster Yamaha Tech 3 di Buriram, Thailand minggu lalu.

Pelumba berusia 24 tahun kelahiran Ampang itu merupakan antara individu yang mendapat sokongan padu program perkembangan bakat Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali, berpandangan mustahil untuk Hafizh berada dalam MotoGP kalau bukan atas dasar usahanya memanfaatkan setiap kelebihan yang ada.

"Bagi saya, Hafizh adalah contoh remaja di luar sana. Jika pelumba itu bekerja keras, berdisiplin, fokus dan berkorban dengan cara betul, mereka juga boleh pergi ke MotoGP," katanya.

Dengan misi SIC untuk mendukung anak Malaysia ke kelas perdana MotoGP direalisasikan lebih awal, kini peminat permotoran tanah air boleh menikmati sesuatu yang berbeza.

Empat penunggang dalam tiga kelas berbeza akan membawa nama Malaysia, yang menghadirkan keterujaan berbeza apabila MotoGP berlangsung di SIC pada November nanti.

"Apabila adanya Hafizh dalam MotoGP, kami sasarkan lebih 100,000 penonton yang akan membanjiri SIC pada hari perlumbaan. Saya percaya tiket akan laris dijual," ujar Razlan.

Malaysia akan memiliki pelumba beraksi dalam semua kategori dipertandingkan musim ini yang merupakan sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Selain Hafizh dalam MotoGP, Khairul Idham Pawi (Idemetsu Honda Team Asia) kekal dalam Moto2, Adam Norrodin (Petronas Sprinta Racing) bagi Moto3 sementara Zulfahmi Khairuddin (SIC Racing Team) membuat kemunculan semula dan beraksi dalam Moto2.

Advertisement

Must Watch Video