Saingan hari kedua Kejohanan Grand Finale Varsiti Sepaktakraw League (VSL) 2024 menyaksikan tumpuan terarah kepada kategori regu premier di antara Universiti Putra Malaysia (UPM) B menentang Politeknik B di Dewan Kompleks Kejiranan, Presint 11, Putrajaya, hari ini.
Dalam aksi itu, UPM yang turun dengan status selaku naib juara edisi lalu dipaksa bekerja keras sebelum menang dalam set pertama dengan keputusan 17-16.
UPM B yang diperkuatkan dengan kelibat pemain KPT Masum Knight yang turut pernah beraksi dalam saingan Emas Anuar Sepaktakraw League (STL) 2024 seperti tekong, Amar Roslan, serta kapten, Haikal Huzaimi, kemudian dikejutkan dengan kebangkitan Politeknik B di set kedua hasil kemenangan 15-13.
Ketika ramai yang menjangkakan aksi sengit berterusan di set penentuan, sebaliknya berlaku apabila upm b mempamerkan kualiti sebenar dengan mendahului perlawanan 9-0 pada satu ketika sebelum memuktamadkan kemenangan 15-9.
"Saya bersyukur dengan peningkatakan semasa pasukan semakin meningkat dalam mencari kemenangan. Politeknik memberikan saingan hebat tetapi dengan tanggungjawab dan karakter mereka dapat menjalankan tugasan dengan baik dan mengakhiri dengan kemenangan," katanya. " kata ketua jurulatih sepak takraw UPM, Ahmad Sufi Hashim.
Kemenangan UPM itu menyaksikan peluang untuk mereka memburu slot ke pentas separuh akhir kembali terbuka namun perlu menang ke atas Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dalam aksi terakhir peringkat kumpulan B.
"Satu permainan yang baik walaupun kami tewas 1-2 kepada UPM, pemain mereka berpengalaman dan pernah beraksi di peringkat tinggi.
"Pemain Politeknik seimbang tetapi mereka mempersembahkan daya saing yang tinggi. Kesilapan dilakukan pertahanan daripad tekong." tambah ketua jurulatih sepak takraw Politeknik, Suhairi Sulaiman.
Saufi Tahir
Fri Dec 20 2024