Beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, menepati ramalan untuk meneruskan kemaraan ke final Kejohanan GP Emas Masters Malaysia 2017 tetapi dipaksa bekerja keras dalam pertarungan tiga set menentang lawan dari Hong Kong.
Diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan, Kian Meng-Pei Jing menjadi pertaruhan terbaik untuk mara ke final selepas kejayaan gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dalam satu lagi aksi separuh akhir pada sebelah pagi.
Berdepan Tam Chun Hei-Ng Tsz Yau dari Hong Kong, Kian Meng-Pei Jing menerima tentangan hebat lawan dalam set pertama.
Masing-masing saling memperoleh mata, dengan Chun Hei-Tsz Yau tidak memberikan ruang buat wakil negara untuk menjarakkan kedudukan.
Hanya pada pertengahan set, Kian Meng-Pei Jing meningkatkan rentak untuk mendahului 15-13 hasil beberapa kesilapan lawan.
Begitupun, Chun Hei-Tsz Yau tidak mengalah dengan corak lebih agresif bagi mengikat kedudukan 16-16 sebelum menamatkan set berkenaan 21-19.
Memasuki set berikutnya, Kian Meng-Pei Jing mempamerkan aksi lebih bertenaga dengan usaha menyekat lawan bagi memperoleh mata.
Sekali lagi gandingan negara ini mendahului lawan 11-7 tetapi kali ini mereka mengekalkan rentak konsisten untuk mencatat kemenangan 21-13.
Kebangkitan yang dijelmakan itu dapat dikekalkan Kian Meng dan Pei Jing dalam set penentuan dengan sekali lagi dapat menjarakkan kedudukan.
Ternyata rentak itu membantu wakil negara ini bagi menutup pertemuan dengan keputusan 21-12 untuk mengesahkan tempat dalam final esok.
“Kami gagal mengekalkan tahap kesabaran kami dalam set pertama, itu merupakan punca kekalahan kami,” kata Kian Meng.
“Permainan kami yang agak terburu-buru adalah sebab utama kekalahan dalam set pertama, kami berharap tidak mengulanginya dalam final,” jelas Pei Jing.