SUKAN LAIN
Golf Terbuka Malaysia: Green, Amir tampil aksi cemerlang
Gavin Kyle Green dan Amir Nazrin Jailani terus membawa cabaran Malaysia selepas tampil cemerlang pada pusingan kedua Kejohanan Golf Maybank Terbuka Malaysia 2018 di Kelab Golf Saujana, Subang, hari ini.
Selepas mencuri tumpuan dalam pusingan pertama dengan catatan empat di bawah par, Gavin dijangka dapat mengekalkan rentak itu dalam pusingan kedua.
Memulakan saingan bersama wakil dari China, Li Hao Tong serta juara bertahan, Fabrizio Zanotti dari Paraguay, Gavin menghadapi masalah dengan pukulan tee yang tidak menemui sasaran yang diharapkan.
Iklan
Bagaimanapun, dia kekal tenang dengan melakukan enam birdie, antaranya pada lubang kesembilan dan ke-18 untuk menyaksikan dia berada tujuh bawah par secara keseluruhan.
"Sedikit masalah perlu saya hadapi pada awal saingan sebelum memperbaikinya dengan melakukan beberapa pukulan yang baik," kata Gavin.
Seorang lagi wakil negara, Amir turut membuktikan dia mampu memberikan saingan ketika membuat penampilan pertama dalam kejohanan ini.
Meskipun terpaksa memulakan saingan lebih awal untuk menamatkan baki empat lagi lubang aksi pusingan pertama, ia tidak menggugat rentak pemain berusia 20 tahun ini.
Lima birdie berjaya diperoleh sementara satu pukulan bogey pada lubang ketiga menyaksikan dia kini mengumpul enam bawah par keseluruhan.
"Saya meneruskan momentum semalam untuk saingan hari ini," kata Amir.
"Saya berpuas hati dengan persembahan hari ini dan mahu mengelak pukulan bogey dalam pusingan seterusnya," katanya.
Pusingan kedua menyaksikan pemain berpengalaman, Lee Westwood, antara yang mempamerkan persembahan terbaik dengan mencatat 11 birdie untuk jumlah 10 di bawah par 62, ketinggalan satu pukulan di belakang pemain muda Thailand, Phachara Khongwatmai.
Catatan Westwood itu turut dikongsi tiga lagi pemain, iaitu Chris Paisley, Yuta Ikeda dari Jepun serta Marc Warren.
Must-Watch Video