Skip to main content

Gusti

Goldberg bergelar juara: Baik atau buruk?

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

goldberg-won-universal-title.jpg

Bintang lagenda Bill Goldberg sekali lagi mencipta momen bersejarah apabila muncul sebagai Juara Universal WWE buat kali pertama, sebuah kejuaraan yang paling berprestij di jenama Raw di acara WWE Fastlane semalam.

Dengan umur yang kini mencecah separuh abad, Goldberg membuat kejutan dengan sekali lagi menewaskan lawannya dengan mudah. Kali ini yang menjadi mangsa adalah penyandang juara sebelumnya, Kevin Owens.

Advertisement

Enggan tewas secara aib sepertimana yang dialami Brock Lesnar di acara Survivor Series November lalu, Owens bijak memprovokasi Goldberg dengan sengaja melengah-lengahkan masa berada di luar gelangggang untuk beberapa minit pertama sebelum loceng dibunyikan. Goldberg nyaris ingin turun ke gelanggang untuk  mendapatkan Owens yang seakan tidak serius dalam perlawanan tersebut. Namun pengadil sempat menghalang dan memberi peluang kepada Owens untuk naik ke atas semula dan bersemuka dengan bekas Juara World Championship Wrestling (WCW) dan WWE itu.

Owens outside ring

Setelah yakin yang semangat Goldberg berjaya dibakar, Owens dengan yakin naik ke gelanggang dan menghamburkan kata-kata nista terhadap Goldberg. Pengadil mengambil kesempatan ini dengan mengarahkan loceng dibunyikan tanda perlawanan secara rasminya bermula.

Jericho

Belum sempat Owens memulakan mukadimah serangan, muzik tema Break The Wall Down bergema dan muncul Chris Jericho dengan gaya dan wajah yang penuh dendam. Setelah persahabatan antara mereka dikhianati Owens beberapa minggu lalu dengan Y2J dibelasah tanpa belas kasihan oleh Owens di acara Raw, tidak pelik mengapa Jericho muncul dan tidak lain tidak bukan, mengganggu fokus Owens agar rakannya yang tidak mengenang budi itu menerima natijah daripada perbuatannya.

Owens yang sedang leka tidak sedar yang Goldberg telah bersiaga di belakangnya. Sebaik sahaja Owens berpaling, satu sondolan bahu spear ditujah tepat ke bahagian abdomen Owens, menyebabkan anak muda kelahiran Kanada ini senak tidak berdaya.

Spear

Goldberg tidak menunggu lama. Owens dibangunkan dan sedia untuk dijulang. Dengan satu hempasan Jackhammer, Owens pitam tidak sedarkan diri dan pengadil menyudahkan tiga kiraan pin. Dalam tempoh lebih kurang 22 saat, Owens terlepas kejuaraan yang telah disandangnya sejak enam bulan lalu kepada seorang bintang veteran separuh masa.

Untuk rekod, kali terakhir Goldberg terlibat dalam perlawanan bagi pertaruhan kejuaraan adalah di acara Armageddon yang berlangsung pada 14 Disember 2003 dalam perlawanan tiga penjuru melibatkan Kane dan Triple H. Dalam perlawanan tersebut, Goldberg telah tewas setelah ditindan Triple H yang dibantu pakatan Evolution, seterusnya mengakhiri penguasaannya selaku Juara Heavyweight Dunia WWE selama 84 hari.

Mengulas tentang kemenangan ini, Goldberg berkata yang beliau rasa amat dihargai kerana diberi peluang untuk mengecap trofi keemasan ini setelah 13 tahun berehat daripada industri.  Tambahnya, beliau teringin untuk ahli keluarganya merasai kembali pengalamannya yang gagah sebagai juara 20 tahun lalu dan acara Fastlane berjaya merealisasikan hajat tersebut.

Berikut pula merupakan respon sinis Owens terhadap kekalahannya terhadap Goldberg:
 



Kini sudah terang lagi bersuluh, Goldberg akan melangkah gagah ke acara Wrestlemania pada 3 April ini selaku seorang juara. Janji temunya dengan Brock Lesnar di acara tahunan terbesar WWE itu kini telah naik setaraf lagi daripada sekadar pertembungan biasa kepada sebuah perlawanan bagi perebutan kejuaraan paling berprestij.

 

Mengulas tentang Lesnar, Goldberg optimis yang beliau mampu untuk mendepani cabaran daripada bekas Juara UFC tersebut dengan sejarah 2-0 pada pertemuan sebelum ini. Dengan hanya 3 minggu lagi yang masih berbaki, Goldberg pasti akan membuat persiapan sewajarnya untuk persediaan perlawanan yang amat ditunggu-tunggu ini.

Lanjutan daripada kemenangan Goldberg tersebut, para WWE Universe telah memperlihatkan reaksi bercampur baur. Ada yang bergembira atas kemenangan ini. Tidak kurang juga yang tidak berpuas hati kerana seorang bintang “bangka” dijadikan ayam tambatan dan diangkat sebagai juara oleh WWE. Seolah menafikan kehebatan bintang sepenuh masa yang telah berhempas pulas setiap minggu seperti Owens.

Penulis enggan menjadi nasi tambah dalam hal ini. Secara peribadi, penulis sendiri gembira kerana Goldberg bergelar juara. Kemenangan semalam sekaligus dapat menaikkan prestij Kejuaraan Universal yang disandang Owens, setelah kejuaraan yang baru diperkenalkan pada Ogos tahun lalu itu sering diperlekeh atas sebab reka bentuk dan nama kejuaraan itu sendiri. Dengan Goldberg sebagai pemegang kejuaraan tersebut, secara tidak langsung dapat menutup kelemahan dan selajur mengangkat nilai kejuaraan tersebut ke tahap yang lebih tinggi.

Tidak kurang juga yang berpendapat Owens sudah terlalu lama bergelar juara dan kini adalah masa yang tepat untuk beliau melepaskan kejuaraannya. Bukan sedikit peminat yang pernah melahirkan rasa ‘cemuih’ atau bosan kepada Owens yang setiap minggu mendabik dada sebagai juara selama enam bulan tanpa pencabar yang benar-benar berkredibiliti. Tambahan pula kebanyakan kemenangannya sebelum ini banyak dibantu oleh sekutunya, Chris Jericho sebelum persahabatan mereka terlerai beberapa minggu lalu.

Cuma yang menjadi tidak berkenan kepada penulis adalah corak perlawanan yang dipersembahkan. Sepatutnya perlawanan antara Goldberg dan Owens semalam boleh dijadikan penanda aras di mana sebenarnya kekuatan Goldberg. Dalam tempoh hanya 22 saat dan dua gerakan sahaja, kita sebagai peminat tidak dapat menilai adakah Goldberg masih gagah seperti dulu atau apa yang diutarakan sebelum ini hanya retorik semata-mata.

Goldberg beat Hogan

Jika kita imbau semula sejarah dominasi Goldberg semasa di era WCW dulu, Goldberg telah mencipta rekod kemenangan yang amat mengagumkan dengan jumlah kemenangan 173-0. Dan kebanyakan perlawanan beliau memang berlangsung kurang daripada lima minit dengan gerakan-gerakan yang amat terhad.

Sebagai seorang bekas pemain futbol yang terpaksa bersara awal atas faktor kecederaan, Goldberg memilih untuk bergelar ahli gusti profesional pada usia yang agak lewat hasil bimbingan sahabatnya Diamond Dallas Page. Atas faktor pengalaman yang kurang dan masih hijau, WCW mengangkat Goldberg sebagai seorang bintang perkasa dalam tempoh yang singkat, walaupun beliau masih belum penuh ilmu di dada.

Sejarah tersebut kelihatan cuba dibawa kembali oleh WWE dalam perjalanan semula karier Goldberg waktu ini. Ditampilkan sebagai bintang perkasa dan menewaskan lawannya dalam tempoh yang singkat. Dan mangsanya kali ini bukan budak belasahan seperti Hugh Morrus, Perry Saturn mahupun Disco Inferno, tapi Brock Lesnar yang telah meleburkan rekod tanpa kalah Undertaker di Wrestlemania, dan Kevin Owens yang mempunyai kebolehan luar biasa di dalam gelanggang biarpun berbadan gempal.

Dari sudut perniagaan, percaturan WWE ini dilihat kena kerana walau apa pun output yang ditampilkan, mereka pastinya mempunyai perancangan yang jelas bagi meraih keuntungan berlipat kali ganda untuk acara Wrestlemania kelak. Benar Owens dan Jericho boleh ditampilkan sebagai perlawanan utama. Namun laba daripada Goldberg-Lesnar mungkin menghasilkan nilai perolehan yang berlipat kali ganda. Justeru, mereka memilih Goldberg sebagai bintang utama untuk membawa nama Wrestlemania kali ini.

Dengan Wrestlemania yang berbaki kurang tiga minggu dari sekarang, sudah tentu mereka tidak mahu mempertaruhkan bintang sandaran mereka. Manalah tahu, jika Owens bertarung dengan Goldberg sepertimana perlawanannya dengan Roman Reigns di acara Royal Rumble pada Januari lalu, Goldberg berpotensi untuk cedera dan segala yang dirancang akan musnah dan pelan baharu terpaksa diatur.

Ini bukan kali pertama WWE meletakkan bintang separuh masa sebagai juara. Sebelum ini, dapat kita saksikan The Rock, Triple H dan Brock Lesnar bergelar juara. Semuanya bagi menjadi tarikan untuk buyrate yang lebih tinggi daripada WWE Universe. WWE sedar yang bagaimana marah sekalipun para peminat mereka, kesudahannya para peminat yang meroyan ini akan tetap melanggan dan menonton siaran mereka di akhirnya. Lebih setengah abad bergelumang dalam industri ini, segala respon peminat ini ada dalam kocek Vince McMahon.

Apapun, penulis percaya yang penguasaan Goldberg selaku juara tidak akan bertahan lama. Kontraknya bersama WWE juga dilaporkan akan tamat beberapa bulan lagi sebelum beliau akan bersara sepenuhnya selepas itu. Sebagai peminat, kita ‘kasi can’ lah.

Bayley beat Charlotte

Keputusan lain perlawanan yang mengambil tempat di acara Fastlane semalam: Bayley menewaskan Charlotte Flair seterusnya meleburkan rekod tanpa kalah Charlotte di acara PPV untuk Kejuaraan Wanita Raw; Roman Reigns benam Braun Strowman; Neville pertahan Kejuaraan Cruiserweight dengan menumpaskan Jack Gallagher; Big Show tumpaskan Rusev; Cesaro kalahkan Jinder Mahal; Sasha Banks kecewakan Nia Jax; Enzo Amore dan Big Cass berputih mata setelah tewas kepada Gallows & Anderson bagi perebutan Kejuaraan Regu Raw; dan Samoa Joe tumpaskan Sami Zayn dalam perlawanan PPV sulung bekas Juara NXT ini.

Kredit foto: WWE.com

 

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network. Saksikan kesemua acara WWE Pay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusif WWE Network, hanya di Astro & Astro On-the-Go.

 

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti professional.

Must Watch Video