Skip to main content

Hoki

Gold Coast: Skuad hoki tetap pasang impian besar

hoki-lawatan-cdm.jpg
Skuad hoki lelaki negara tetap memasang impian ke separuh akhir Sukan Komanwel 2018 biarpun diletakkan bersama seteru utama, India, dalam Kumpulan B selain satu lagi pasukan pilihan, England.

Biarpun fokus skuad hoki lebih terarah kepada Sukan Asia Indonesia pada Ogos depan, ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, tetap mahu membuktikan sesuatu di Gold Coast. 

Peluang tetap ada buat pasukan negara dengan syarat perlu mengejutkan dua pasukan di ranking lebih tinggi, England atau India, selain mengelak kekalahan kepada Pakistan dan Wales. 

"Kami sentiasa ingin memperbaiki ranking kami, ketika ini kami menduduki tangga keenam dalam kalangan negara Komanwel. 

"Kami cuba meningkatkan pasukan, meraih keputusan mengejut kerana bakal menghadapi lawan handalan dalam Sukan Komanwel.

"Australia, New Zealand dan Kanada serta India dan Pakistan sama hebat dan ia satu kejohanan yang boleh digunakan untuk mengukur kemampuan kami," kata Van Huizen ketika ditemui dalam sesi lawatan chef-de-mission (CDM) Sukan Komanwel, Huang Ying How, yang meninjau latihan skuad hoki lelaki, hari ini. 

Sementara itu, ketua pasukan, Sukri Mutalib, menggesa rakan sepasukan agar mengekalkan aksi konsisten yang dipamerkan sepanjang tahun lalu semasa Sukan Komanwel nanti. 

"Kami cuba mara sejauh yang mungkin. 

"Kami cuba mendapatkan medal kerana kami juga ingin menjaga maruah selaku pasukan kedua terbaik Asia. 

"Kami akan cuba pulang dengan sesuatu yang positif," ujar Sukri. 

Advertisement

Must Watch Video