Skip to main content

Sukan Lain

Gold Coast 2018: TTAM tidak letak sasaran tinggi

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ping-pong_2.jpg
Sandaran kepada atlet muda ke Sukan Komanwel Gold Coast menjadikan Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) bersikap terbuka untuk tidak meletak sasaran tinggi dan menganggapnya bonus sekiranya mereka mampu menghadiahkan pingat.

Skuad negara sememangnya berbeza dengan sesetengah negara seperti Singapura yang mempunyai pemain naturalisasi dari China, sekali gus menenggelamkan atlet Malaysia.

Sukan Komanwel di Glasgow empat tahun lalu menyaksikan acara berpasukan wanita menerusi Beh Lee Wei yang kini jurulatih negara, Ng Sock Khim dan Lee Rou You merangkul pingat perak yang merupakan pencapaian terbaik skuad ping pong setakat ini.

TTAM tidak menolak mereka sebenarnya berjaya memperbaiki pencapaian ketika Sukan Komanwel 2010 di New Delhi dengan pingat gangsa sebelum meraih perak di Glasgow. 

Tujuh atlet yang diberikan kepercayaan untuk menggalas cabaran di Gold Coast 4-15 April ini ialah Leong Chee Feng, Muhammad Asyraf Haiqal, Javen Choong, Alice Chang, Tee Ai Xin, Karen Lyne dan Ho Ying.

Ho Ying yang sebelum ini diketepikan ekoran prestasi tidak konsisten, adalah pemain terakhir melengkapkan kuota tujuh pemain ke Gold Coast.

"Kami hanya mempunyai dua pemain yang mampu digandingkan dengan mana-mana pemain. 

"Lazimnya, pemain perseorangan tidak sesuai untuk diturunkan dalam acara beregu dan kalau permohonan kami untuk menambah seorang lagi pemain diluluskan, dapatlah kami membawa empat pemain," kata Pengurus Besar TTAM, Soong Poh Wah.

Melihat kepada senarai nama atlet yang bakal bertanding, TTAM enggan tekanan menghimpit mereka dengan sasaran yang mungkin sukar dicapai dan mengambil pendekatan untuk meletakkan sasaran sederhana sahaja.

Lee Wei, yang kini menggalas tugas membimbing skuad negara, melihat banyak perbezaan oleh skuad ping pong ketika ini jika dibandingkan dengan empat tahun lalu ketika dia masih bergelar atlet.

Namun, ini tidak bermakna Lee Wei sekadar melepaskan batuk di tangga dalam usahanya membentuk pasukan yang sekurang-kurangnya mampu memberikan saingan sengit kepada lawan.

Mereka juga tidak pernah ketinggalan untuk menjalani latihan intensif di China yang sememangnya merupakan kuasa besar dalam sukan ping pong kerana itu merupakan antara langkah terbaik untuk atlet didedahkan kepada persaingan sengit.

"Latihan di China dan pemainnya semuanya bagus.

"Di sini, saya menekankan perlawanan persahabatan. 

"Cabaran paling hebat adalah mengenai persiapan kekuatan mental selain memantapkan aspek kemahiran teknikal dan taktikal semasa beraksi," kata atlet negara, Muhammad Ashraf.

Ketika ini, skuad ping pong negara sedang menjalani latihan intensif di China sejak 4 Mac lalu dan akan kembali ke tanah air pada 25 Mac sebelum terbang ke Gold Coast, 1 April nanti.

"Saya tidak jangka mereka akan meraih pingat tetapi saya berharap mereka dapat mempamerkan persembahan yang baik," ujar Lee Wei.

Advertisement

Must Watch Video