SUKAN LAIN
Gold Coast 2018: Semangat skuad boling padang makin memuncak
Rentak kemenangan konsisten dalam siri aksi persahabatan sejak tiba di Gold Coast, melonjakkan harapan pingat emas skuad boling padang negara dalam Sukan Komanwel 2018, bermula esok hingga 15 April ini.
Enam kemenangan daripada lapan acara ketika menentang India, disusuli tiga kemenangan dalam empat pertemuan dengan juara bertahan, Afrika Selatan, cukup memuaskan hati jurulatih, Simon Botha.
Dua kemenangan dilakar ketika menentang Wales semalam menjadi pelengkap persiapan terakhir mereka yang akan turun ke gelanggang, Khamis ini.
Iklan
Botha percaya anak buahnya mampu mengawal segala situasi, termasuk keadaan cuaca tidak menentu untuk mempamerkan aksi terbaik.
"Pemain-pemain sentiasa meningkat setiap masa. Dalam pertemuan dengan India nanti, kami yakin jika dapat beraksi baik seperti yang diperlukan dalam kejohanan, kami akan mengatasi mereka.
"Esok mereka akan berehat dan hanya akan melalui proses regangan ringan tanpa sebarang latihan," kata Simon.
Bagaimanapun, secara peribadi, Botha melihat peluang meraih emas lebih cerah menerusi acara berpasukan wanita dan berpasangan lelaki dengan berkata: "Saya amat yakin kami akan melayakkan diri sekurang-kurangnya ke suku akhir.
"Untuk kilauan pingat, ia bergantung kepada lawan yang kami temui di peringkat separuh akhir.
"Kami mengharapkan kedua-dua skuad lelaki dan wanita akan tampil dengan aksi terbaik."
Must-Watch Video