Skip to main content

Sukan Lain

Gold Coast 2018: Mun Yee enggan berputih mata lagi

leong-mun-yee_1.jpg
Atlet paling veteran dalam skuad terjun negara, Leong Mun Yee, tidak rela untuk terus kempunan pingat dalam Sukan Komanwel Gold Coast berikutan hanya dipisahkan 1.2 mata dengan pemenang pingat gangsa ketika edisi Glasgow 2014. 

Empat tahun lalu, Mun Yee bergandingan dengan Cheong Jun Heong dalam acara 10 meter platform beirama, mencatat 298.92 mata tetapi terpaksa akur kepada rakan sepasukan, Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri, yang mencatat 300.12 mata untuk menggondol gangsa. 

Justeru, dia tidak rela kemarau pingat berterusan selepas kali terakhir meraihnya adalah lapan tahun lalu dalam temasya New Delhi 2010 dalam acara yang sama ketika bergandingan dengan Pandelela meraih perak.

"Kolam terjun di Gold Coast terletak di kawasan terbuka, angin di sana sangat kuat. 

"Saya memiliki dua acara dan kedua-duanya dijalankan pada hari yang sama, jadi sudah tentu memenatkan. 

"Bagaimanapun, saya sudah melakukan persiapan," kata Mun Yee. 

Ini merupakan penampilan keenam Mun Yee dalam Sukan Komanwel sejak beraksi pada 1998 di Kuala Lumpur. 

Selain beraksi dalam 10 meter platform berirama, dia juga akan beraksi dalam 3m papan anjal berirama bergandingan dengan Nur Dhabitah dalam kedua-dua acara. 

"Sasaran saya memang mahu mendapatkan pingat dan saya gembira kerana mewakili negara dalam Sukan Komanwel sebanyak enam kali bukan sesuatu yang mudah," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video