SUKAN LAIN
Gold Coast 2018: Misi skuad olahraga akhiri penantian 16 tahun
Bumi Gold Coast mungkin menjadi detik paling sesuai buat skuad olahraga menamatkan kemarau pingat dalam Sukan Komanwel dengan taruhan terbaik menerusi dua atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh dan Lee Hup Wei.
Jika Nauraj mengulangi lompatan 2.30 meter tahun lalu, dia mampu menempatkan diri dalam kalangan pemenang pingat untuk sekurang-kurangnya meraih gangsa.
Antara pencabar utama Nauraj ialah Robbie Grabarz dari England yang melakukan lompatan 2.33m dalam Sukan Olimpik Rio 2016 selain Donald Thomas dari Bahamas.
Iklan
Sementara itu, prestasi Hup Wei semakin memuncak selepas mencatat 2.28m di Canberra, Australia pada Januari lalu.
Kali terakhir skuad olahraga negara memenangi pingat Sukan Komanwel ialah di Manchester 16 tahun lalu melalui gangsa yang diraih Yuan Yu Fang dalam acara 20km jalan kaki wanita.
"Mereka telah berada di Australia sejak Januari hingga Mac dan mereka telah meraih kelompok teratas dalam pertandingan yang disertai. Ia menyaksikan sama ada Nauraj atau Hup Wei akan meraih tempat pertama apabila menewaskan wakil dari Australia.
"Kami berharap mereka dapat meneruskan kecemerlangan itu," kata ketua jurulatih olahraga negara, Zainal Abas.
Skuad olahraga yang dianggotai 13 atlet tiba di Gold Coast hari ini, dengan Nauraj, Hup Wei dan Irfan Shamsuddin sudah pun hadir lebih awal bersama jurulatih masing-masing.
"Segala kelengkapan sudah sempurna. Apa yang kami risau adalah Iskandar Alwi dan Chuah Yu Tian (lompat bergalah) sementara Jackie Wong membawa sebiji peluru.
"Lain-lain perkara sudah selesai," ujarnya lagi.
Must-Watch Video