GOLD COAST 2018
Gold Coast 2018: Atlet Program Podium bakal dikaji
Kedudukan atlet Program Podium yang gagal dalam Sukan Komanwel akan dikaji, malah mereka tidak akan terlepas daripada sebarang hukuman jika terus hambar di pentas tertinggi dunia seperti Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos ini.
Atlet lompat tinggi, Nauraj Singh, antara yang menjadi tumpuan selepas mengambil kira prestasinya yang mengecewakan dalam aksi final.
Nauraj gagal menyaingi sebarang pingat selepas gagal melepasi ketinggian 2.18 meter -- jauh berbanding prestasi terbaik dan rekod kebangsaan, 2.30m, yang dilakukannya dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura, April tahun lalu.
Iklan
"Persiapan yang telah dijalankan amat baik -- menggunakan kemudahan dalam sesi latihan yang lebih berkualiti dan menyertai kejohanan di luar negara bagi meningkatkan mutu sebelum menghadapi kejohanan utama," kata Pengarah Program Podium, Tim Newenham.
"Prestasi terbaik perlu dihadirkan dalam aksi sebenar. Masih terdapat beberapa kejohanan selepas ini yang bakal ditempuhi atlet negara dan mereka akan berusaha untuk meraih pingat emas."
Atlet seperti Nauraj yang diberi pelbagai kelebihan untuk meningkatkan prestasi akan diberi peluang untuk bangkit dalam Sukan Asia.
Tekanan sudah pasti di bahu atlet elit itu untuk membuktikan pelaburan besar ke atas mereka tidak sia-sia.
"Kami akan menilai semula dan cuba mengenal pasti apa yang menghalang Nauraj melakukan lompatan terbaiknya dan Sukan Asia bakal menjadi platfom untuk dia bangkit," kata Newenham lagi.
Must-Watch Video