GOLD COAST 2018
Gimrama: Trio negara sumbang perak
Trio gimnas negara mempamerkan persembahan memukau yang sekali gus memperbaiki pencapaian dalam Sukan Komanwel lalu selepas meraih pingat perak di Gold Coast, sebentar tadi.
Malaysia yang diwakili oleh gimnas berpengalaman, Amy Kwan Dict Weng dan Koi Sie Yan, serta gimnas muda, Izzah Amzan, mengutip 127.950 mata untuk berada di kedudukan kedua dalam aksi di Coomera Indoor Sports Centre.
“Kami berjaya raih pingat perak, di situ kita dapat lihat prestasi kami sudah semakin baik berbanding di Glasgow yang hanya mendapat pingat gangsa.
Iklan
“Untuk pertandingan hari ini, kami beraksi dengan bersungguh-sungguh sehingga saat akhir walaupun masing-masing ada melakukan kesilapan,” kata Amy.
Amy yang membantu skuad negara menang pingat gangsa di Glasgow, empat tahun lalu, ternyata tidak menyangka dia akan melakukan kesilapan, namun ia menjadi pengajaran buatnya untuk lebih berhati-hati, terutama aksi dalam apparatus bola dan belantan.
Pingat emas acara itu menjadi milik pasukan Cyprus yang meraih 130.625 mata manakala pingat gangsa dimenangi pasukan Australia dengan 120.800 mata.
Sementara itu, Izzah yang membuat penampilan pertama dalam Sukan Komanwel, mengakui pengalaman beraksi di Gold Coast adalah sesuatu yang bermakna.
Gimnas berusia 18 tahun itu berkata dia telah melakukan persembahan yang lebih baik berbanding dalam Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
“Secara peribadi, saya rasa saya sudah buat yang terbaik dan prestasi saya juga lebih bagus berbanding sebelum ke Gold Coast.
"Memang saya ada buat kesilapan kecil di awal persembahan tadi, namun dapat mengawalnya,” katanya yang memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara.
Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam acara gimrama dalam Sukan Komanwel adalah dalam edisi New Delhi 2010 di mana Elaine Koon tampil cemerlang memenangi satu emas (gelung), satu perak (bola) dan dua gangsa (reben dan belantan).
Empat tahun sebelum itu di Melbourne pada 2006, Durratun Nasihin Rosli memenangi empat perak manakala Lim Wen Chean menyumbang dua gangsa.
Pada edisi 2014 di Glasgow, skuad gimrama negara membawa pulang satu perak menerusi Wong Poh San (reben) serta dua gangsa menerusi Poh San (gelung) dan acara berpasukan.
— BERNAMA
Must-Watch Video