Skip to main content

Sukan Asia

Gimrama: Sokongan antara faktor kejayaan trio negara

gimrama11418.jpg
Sokongan berterusan di belakang pentas menjadi kunci utama kepada kejayaan skuad gimrama negara yang meraih pingat perak dalam acara berpasuka, Sukan Komanwel Gold Coast di Pusat Sukan Tertutup Coomera, hari ini.

Ia satu kejayaan bermakna buat trio gimnas, Amy Kwan Dict Weng, Koi Sie Yan dan Izzah Amzan, selepas berjaya memperbaiki pencapaian pingat gangsa di Glasgow empat tahun lalu dengan mengumpul 127.950 mata.

Walaupun sasaran sebenar adalah pingat emas, jurang 2.675 mata yang memisahkan gimnas negara dengan pemenang emas, Cyprus, membuktikan kesungguhan mereka untuk tetap memberi tentangan sengit.

Kesilapan tetap berlaku tetapi semangat tidak berputus asa membawa kepada keputusan positif untuk mereka mengungguli dua apparatus pertama dengan kutipan mata tertinggi. 

Pingat emas acara itu menjadi milik pasukan Cyprus yang meraih 130.625 mata manakala pingat gangsa dimenangi pasukan Australia dengan 120.800 mata.

"Terima kasih kepada semua yang menyokong kami, termasuk pasukan perubatan.

"Kami tidak dapat emas hari ini tetapi untuk aksi seterusnya, kami menyasarkannya. Kami akan memberikan yang terbaik seperti hari ini dan diharapkan pingat akan hadir lebih banyak lagi," kata Amy.

"Semua seronok menikmati persembahan. Lagu yang dimainkan membuatkan kami lebih teruja untuk melakukan persembahan.

"Ia adalah pengalaman yang baik kerana ini adalah Sukan Komanwel pertama saya. Saya sangat bangga," kata Izzah.

Cukup untuk merasai pingat perak ini buat seketika tatkala misi mereka belum berakhir apabila cuba menghadirkan emas acara final individu, esok.

"Saya tidak sabar untuk masuk ke final esok. Saya akan melakukan yang terbaik. Diharapkan juri memberikan mata dengan baik kepada saya. Jadi, kita akan lihat nanti," kata Sie Yan. 

Untuk rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam acara gimrama Sukan Komanwel adalah di New Delhi 2010 di mana Elaine Koon tampil cemerlang memenangi satu emas (gelung), satu perak (bola) dan dua gangsa (reben dan belantan).

Empat tahun sebelum itu di Melbourne pada 2006, Durratun Nasihin Rosli memenangi empat perak manakala Lim Wen Chean menyumbang dua gangsa.   

Dalam edisi 2014 di Glasgow, skuad gimrama negara membawa pulang satu perak menerusi Wong Poh San (reben) serta dua gangsa menerusi Poh San (gelung) dan acara berpasukan. 
 

Advertisement

Must Watch Video