GOLD COAST 2018
Gimrama: Lewat ke Gold Coast tidak jejas tumpuan Izzah
Atlet gimrama negara, Izzah Amzan, lega isu kad akreditasi yang menimpa jurulatihnya, Yulia Ivanova, berjaya diselesaikan secepat mungkin sambil menegaskan masalah sebegini tidak menganggu fokusnya dalam memburu pingat emas buat negara dalam Sukan Komanwel di Gold Coast.
Izzah sepatutnya berlepas ke Gold Coast bersama rakannya, Amy Kwan dan Koi Sie Yan, pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, masalah kad akreditasi yang menimpa salah seorang jurulatihnya, iaitu Ivanova, menyebabkan Izzah mengambil keputusan untuk menemani jurulatih dari Russia itu di tanah air sehingga masalah tersebut selesai.
Iklan
Mujur Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berjaya membantu mereka untuk menyelesaikan isu itu dan kedua-dua mereka dijangka berlepas ke Gold Coast esok.
"Sebab hanya seorang jurulatih yang dibenarkan berada di tempat latihan. Jadi, saya, jurulatih dan Persekutuan (Gimnastik Malaysia) membuat keputusan untuk pergi kemudian," ujarnya.
Biarpun kekurangan waktu untuk menyesuaikan diri di venue pertandingan di Pusat Sukan Tertutup Commera berbanding rakan sepelatihnya, Izzah tidak berasakan ia satu kekurangan, sebaliknya masih meneruskan rutin latihan seperti biasa di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
Acara gimrama bakal membuka tirai pada Rabu depan dan Izzah diletakkan sebagai antara prospek meraih emas untuk kontijen Malaysia, terutama dalam acara berpasukan
"Saya tidak rasa macam itu sebab di sini pun saya berlatih seperti biasa. Saya ada banyak masa berlatih dengan jurulatih saya. Jadi, saya okay," katanya lagi.
Must-Watch Video