Skip to main content

Sukan Lain

Futsal AFC: Kesilapan mudah bawa padah, akui Azwann

azwann-futsal.jpg
Azwann Ismail menafikan skuad futsal negara bersikap sambil lewa dalam aksi kedua Kejohanan Futsal AFC bertemu tuan rumah, Taiwan, 3 Februaru lalu, malah menekankan barisan pemain telah mengerah kudrat sebanyak 200 peratus.

Selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Vietnam, anak buah Chiew Chun Yong itu berpeluang menempah tiket ke suku akhir buat julung kalinya, namun dua kekalahan -- tewas 5-4 kepada Taiwan dan 3-1 kepada Bahrain -- selepas itu memadamkan peluang negara. 

"Kami tidak memandang rendah kepada Taiwan kerana kami sudah memenangi perlawanan pertama dan kami memerlukan kemenangan kedua untuk layak ke suku akhir. 

"Cabaran yang dihadapi kami lebih tinggi, mungkin fizikal memainkan peranan. 

"Corak permainan kami hampir sama, cuma kesilapan kami adalah membenarkan pihak lawan mendahului dengan dua gol," katanya. 

Sekali lagi, kesilapan awal di bahagian pertahanan memainkan peranan utama dalam kekalahan kepada Bahrain dan dia menjelaskan: "Tekanan yang kami hadapi sangat tinggi untuk misi hidup mati ke suku akhir. 

"Kami menganggap tekanan itu sebagai dorongan untuk bangkit. 

"Kami bermain mengikut taktikal dan mungkin kesilapan kami mengundang kekalahan itu. Kami sedih kerana hampir melakar sejarah layak ke suku akhir."

Dalam masa sama, jurulatih negara, Chun Yong, mendedahkan kepincangan utama anak buahnya. 

"Keadaan fizikal penting. Liga kita hanya diadakan selepas Kejohanan AFC, oleh itu kami tidak berada di tahap terbaik.

"Saya menggalakkan pemain saya untuk belajar menangani tekanan seperti ini. Saya mengharapkan pemain agar dapat menyesuaikan diri dalam perlawanan getir.

"Dalam masa sama, ia adalah pendedahan terhadap budaya dalam sukan kerana kita pasti akan berdepan isu seperti ini pada masa akan datang. 

"Saya tidak akan membelai mereka, saya mahu mereka berdepan cabaran ini dan bagaimana mengawal tekanan hebat. 

"Ini akan membantu mereka menjadi ahli sukan yang lebih baik," tambah pengendali itu. 

Advertisement

Must Watch Video