Skip to main content

Sukan Lain

Futsal AFC: Impian skuad negara tidak kesampaian

futsal-malaysia_2.jpg
Impian skuad futsal negara ke peringkat kalah mati berkecai apabila tumbang 3-1 kepada Bahrain dalam aksi terakhir Kumpulan A, Kejohanan Futsal AFC, sebentar tadi. 

Dua kesilapan pada awal permainan meletakkan misi skuad kendalian Chiew Chun Yong itu untuk merakamkan kemenangan semakin sukar di University of Taipei Gymnasium, Taiwan. 

Selepas membuka kempen dengan kemenangan, skuad negara mengalami kekalahan pertama apabila gagal menyaingi fizikal Bahrain yang bijak menutup segala kemungkinan ancaman dengan lebih awal. 

Sebaliknya, kegagalan barisan negara mengekang kelincahan Ahmed Abdulnabi pada minit ketiga dan ketujuh menyebabkan pintu gol negara bergegar.

Tersentak dengan itu, kebangkitan yang cuba dijelmakan Malaysia tidak kesampaian dan hanya beroleh gol sagu hati menerusi rembatan deras Syed Aizad Daniel Syed Nasir, tujuh minit menuju tamat permainan. 

Bagaimanapun, Bahrain mahu memenangi perlawanan dengan lebih bergaya apabila lambungan Mohamed Al Sandi ketika permainan berbaki seminit terus menerjah gawang Malaysia, sekaligus membunuh sisa perjuangan pemain negara. 

Untuk itu, Bahrain selaku naib juara kumpulan akan mengiringi Vietnam ke peringkat seterusnya manakala Malaysia terperosok di tangga tercorot. 

Kredit imej: FAM

Advertisement

Must Watch Video