Skip to main content

Sukan Lain

Futsal AFC: Chun Yong tegaskan manfaat liga kompetitif

chiew-chun-yong-futsal.jpg
Chiew Chun Yong berharap Malaysia dapat mencontohi Taiwan dalam membangunkan futsal agar menjadi sebuah pasukan disegani di rantau Asia. 

Di sebalik memulakan kempen dengan kemenangan 2-1 ke atas Vietnam dalam kempen Kejohanan Futsal AFC tempoh hari, namun barisan kendalian Chun Yong itu tersingkir selepas terperosok di tangga tercorot Kumpulan A, dengan Vietnam dan Bahrain melepasi halangan peringkat kumpulan. 

Jurulatih itu mengakui terkejut dengan perkembangan pasukan tuan rumah, Taiwan, yang mudah membenam mereka 5-4 dalam aksi kedua. 

"Liga mereka hampir sama dengan kita. Kelebihan mereka terletak kepada pemain yang dihantar untuk menyertai kancah liga profesional China. 

"Mereka mempunyai pendedahan yang luas dan menempuhi liga lebih panjang. 

"Mereka menghadapi Kejohanan AFC ini dengan serius apabila membuat persiapan rapi sejak enam bulan lalu, malah mengupah pasukan teknikal profesional bagi membangunkan futsal di negara mereka. 

"Dengan pendekatan serius itu, mereka semakin berkembang. Mereka memperagakan permainan menarik dan ia memeranjatkan saya.

"Mereka tidak pernah mempamerkan aksi sebegitu pada tahun lalu," kata Chun Yong yang hadir sebagai tetamu khas dalam Nadi @1 hari ini. 

Sehubungan itu, Chun Yong yang mula memikul jawatan pengendali negara sejak 2016, berpendapat Malaysia wajar mengikut jejak langkah itu. 

"Kejohanan AFC adalah pentas tertinggi di Asia, sudah pasti kami memerlukan persiapan yang lebih baik.

"Bercakap mengenai persiapan, ia bukan berkisar kepada jangka pendek sahaja. Saya memerlukan setidak-tidaknya sehingga empat bulan untuk membuat persiapan kerana ia membabitkan isu tahap kecergasan.

"Saya harus akui tidak berpuas hati dengan tahap keadaan barisan pemain dalam kempen kali ini.

"Kecergasan amat penting sebelum saya bercakap tentang sistem permainan dan intensiti tinggi," katanya.

Dengan tahap kecergasan sempurna, sudah pasti ia akan memudahkannya melaksanakan strategi tertentu. 

"Sekurang-kurangnya pemain didedahkan dengan latihan berterusan, khususnya apabila terbabit dengan jadual liga yang panjang, ia membolehkan pemain mengekalkan tahap terbaik mereka sepanjang tahun.

"Ini akan membawa kebaikan buat negara sepertimana sesetengah negara yang menyaksikan liga mereka masih berjalan menjelang kempen Kejohanan AFC.

"Fizikal mereka di tahap tertinggi berbanding kami," katanya lagi. 

Malaysia tewas 3-1 dalam perlawanan terakhir menentang Bahrain, sekaligus pintu ke peringkat seterusnya tertutup rapat. 
 

Advertisement

Must Watch Video