Skip to main content

Sukan Lain

Fung terkilan gagal kekal rentak

nicholas-fung.png
Sedikit kekecewaan buat pemain golf profesional negara, Nicholas Fung, apabila gagal mengekalkan rentak lalu menyaksikan dia sekadar memperoleh catatan satu di bawah par dalam pusingan pertama Kejohanan Golf Terbuka Malaysia 2018 hari ini. 

Saingan di Kelab Golf Saujana, Subang itu menyaksikan Fung cuba memburu kedudukan terbaik selepas mempamerkan persembahan konsisten dalam Kejohanan Berpasukan EurAsia, tempoh hari. 

Awal permainan menyerlahkan kemampuan Fung apabila pada suatu ketika, dia mencatat tiga di bawah par.

Begitupun, beberapa pukulan kurang kemas dan tepat pada lewat saingan nyata mengecewakannya sehingga dia sekadar berpuas hati menamatkan cabaran dengan satu di bawah par 71. 

"Saya bermula dengan baik. Selepas 10 lubang, saya merekodkan tiga di bawah par. 

"Tetapi, saya melakukan bogey pada lubang ke-15 dan 16. Kemudian, birdie pada lubang ke-17 dan sekali lagi bogey pada lubang ke-18. 

"Nampaknya saya melalui penamat yang buruk hari ini. Untuk itu, saya perlu bekerja lebih keras esok, itu perkara paling penting," kata Fung. 

Beberapa pemain negara mempamerkan aksi memberangsangkan dalam pusingan awal itu, antaranya Gavin Green yang merekodkan empat di bawah par. 

Turut cemerlang, Mohd Wafiyuddin Abdul Manaf dan Ben Leong dengan masing-masing mengumpul tiga di bawah par. 

Terdahulu, permainan ditangguhkan hampir dua jam berikutan ancaman guruh dan petir. 

Saingan hari ini diterajui pemain England, Chris Paisley, yang mencatat tujuh di bawah par 65 sambil diekori rapat rakan senegaranya, David Horsey, yang ketinggalan satu pukulan dengan enam lagi pemain berkongsi kedudukan ketiga, antaranya Arjun Atwal. 

Sehubungan itu, Fung berazam meningkatkan permainannya dalam pusingan kedua esok bagi memperbaiki kedudukannya. 

"Saya menjangkakan 68 pukulan ke bawah. Ini kerana saya berasakan segalanya berjalan baik, termasuk hayunan saya. 

"Saya perlu berlatih beberapa putting kerana itulah kunci utama di lapangan ini, anda perlu melakukan putting dengan baik," kata Fung lagi. 




 

Advertisement

Must Watch Video