Skip to main content

Tenis

Federer tidak mahu fikir status pilihan utama

federer-020717.jpg
Bintang tenis Switzerland, Roger Federer, tidak mahu memikirkan statusnya sebagai pilihan kejohanan, sebaliknya menamakan Rafael Nadal, Novak Djokovic serta Andy Murray sebagai pencabar utama menjelang Kejohanan Wimbledon (SW19) yang bakal membuka tirai esok.

Meskipun berjaya meraih kejuaraan grand slam ke-18 di dalam kariernya dalam Terbuka Australia, awal tahun ini, Federer tetap tidak mahu mendabik dada dan memandang rendah cabaran pemain lain. 

Federer muncul pilihan utama selepas pemain nombor satu dunia, Murray, tampil di SW19 dalam keadaan baru pulih daripada kecederaan pinggul, Djokovic baru mengesahkan status juara dalam Kejohanan Aegon di Eastbourne dan Nadal tidak pernah layak ke final sejak kali terakhir melakukannya di Wimbledon pada 2011.

Pemain berusia 35 tahun itu, yang juga pernah dinobatkan sebagai juara Wimbledon sebanyak tujuh kali sebelum ini, menguatkan fakta bahawa dia adalah pilihan pertama kejohanan, namun tetap dengan pendiriannya menganggap pemain lain masih mempunyai kelebihan tersendiri.

“Bagi saya, semua pemain memiliki kisah tersendiri dalam edisi kali ini.

“Djokovic baru sahaja menang di Eastbourne dan Murray sudah pasti akan menjadi pilihan utama jika dia berjaya pulih 100% daripada kecederaan yang dialami,” ujar Federer.

Selain itu, Federer juga menamakan beberapa nama lagi yang bakal memberikan cabaran kepada nama-nama besar yang lain.

“Pemain seperti Alexander Zverev dan Nick Kyrgios telah membuktikan keupayaan mereka sebelum ini, begitu juga dengan Milos Raonic, Kei Nishikori serta Grigor Dimitrov,” katanya.

Federer akan memulakan saingan SW19 menentang pemain Ukraine, Alexandr Dolgopolov, pagi esok.

Advertisement

Must Watch Video