Roger Federer meraih kejuaraan Grand Slam ke-18 dalam kariernya dengan kejuaraan kelima Terbuka Australia selepas mengetepikan cabaran Rafael Nadal, 6-4, 3-6, 6-1, 3-6, 6-3.
Kemenangan itu menandakan kejuaraan pertama di pentas Grand Slam buat Federer selepas kali terakhir melakukannya pada 2012, menewaskan Andy Murray di Wimbledon.
Bintang Switzerland itu kini memegang rekod 18-10 dalam final kejuaraan utama sementara Nadal dengan rekod 14-7.
Federer melakar 73 pukulan kemenangan, termasuk 20 servis ace, dan memenangi 76 peratus daripada pukulan servis pertama untuk muncul pemenang dalam tempoh tiga jam 37 minit.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan www.atpworldtour.com, daripada 35 pertemuan, Nadal mendahului dengan rekod 23 kemenangan, namun Federer melakukan pukulan lebih konsisten berbanding Nadal yang mencatat 28 'unforced errors'.
Jaguh Switzerland itu yang kembali tahun ini selepas enam bulan mengalami kecederaan, kini telah melakar 12 kemenangan daripada 35 pertemuan berdepan jaguh Sepanyol itu.