Boleh dianggap sebagai kejayaan terbesar selepas menjuarai Terbuka Australia, Roger Federer meraikan kemenangan itu dengan berpesta sehingga terbit matahari selepas merangkul trofi Terbuka Australia yang kelima dalam kariernya.
Bekas pemain no.1 dunia itu mengetepikan segala dugaan untuk merangkul kejuaraan Grand Slam ke-18 selaku pemain perseorangan, menewaskan seteru utama, Rafael Nadal 6-4, 3-6, 6-1, 3-6, 6-3 dalam aksi penuh epik di Melbourne Park.
Selepas enam bulan menyepi ekoran kecederaan dan tanpa sebarang kejuaraan sejak tahun 2012, Federer tiba di Melbourne selaku pilihan ke-17 kejohanan.
Bagaimanapun, bintang Switzerland itu membuktikan dia masih mampu beraksi di tahap tertinggi tatkala menempuh aksi selama tiga jam untuk muncul juara.
"Kami pulang selepas terbit matahari, ia satu pemandangan yang cukup indah di Melbourne," Federer bercakap kepada media pada Isnin.
"Satu malam yang panjang tetapi cukup menyeronokkan.
"Mood kami cukup baik. Ia hari yang sangat istimewa, minggu yang cukup indah.
"Kami menyambut dengan cara terbaik, membuat lawak dan bercakap tentang segala perkara.
"Saya tidak tahu berapa lama saya tidur, atau mungkin saya tidak tidur langsung."