Skip to main content

Tenis

Federer mahu Djokovic, Murray segera pulih

murraydjokovic.jpg
Pemain tenis Switzerland, Roger Federer, berharap agar Novak Djokovic serta Andy Murray cepat sembuh daripada kecederaan yang dialami ketika tewas dalam saingan suku akhir Kejohanan Wimbledon (SW19).

Murray, yang merupakan juara bertahan, turun beraksi di SW19 dalam keadaan baru pulih daripada kecederaan pinggul, namun berjaya melayakkan diri ke kelompok lapan terbaik sebelum tewas di tangan Sam Querrey, kelmarin.

Djokovic pula terpaksa meninggalkan perlawanan ketika bertemu Tomas Berdych selepas mengalami kecederaan di bahagian siku, sekaligus mengumumkan mahu berehat dari gelanggang buat sementara bagi memastikan dapat kembali dalam keadaan 100 peratus cergas.

Lantaran itu, Federer, pemain nombor lima dunia ketika ini, mengharapkan segala-galanya mudah buat kedua-dua pemain tersebut dan segera kembali beraksi.

“Anda mahukan mereka lekas sembuh sebagai seteru dan juga rakan. Saya tidak mahu mengatakan perkara sebegini akan berlaku tetapi Djokovic telah bermain banyak perlawanan dalam beberapa tahun,” ujarnya. 

“Baginya, untuk cedera di peringkat tertentu adalah normal dan sebab itu saya mahukannya segera pulih,” katanya.

“Murray, saya harap aksinya tidak akan membuatkan perkara lebih teruk.

“Pujian harus diberikan kepadanya kerana turun ke gelanggang walaupun peluang untuk mempertahankan kejuaraan itu tipis, sama seperti saya pada tahun lalu,” tambahnya.

Federer bakal bertemu Berdych dalam separuh akhir pada Jumaat, namun bingkas menafikan dirinya selaku pilihan utama kejohanan.

“Menjadi pilihan atau tidak, itu tidak penting.

“Pemain-pemain lain juga hebat. Masing-masing memiliki servis, pukulan silang serta teknik yang hebat dan mereka lebih kuat berbanding saya,” ujarnya.

Advertisement

Must Watch Video