Skip to main content

Tenis

Federer akui gemuruh sebelum ketepikan Lajovic

roger-federer-070717.jpg
Roger Federer mendedahkan dia bergelut untuk mengatasi perasaan gemuruh dalam kemenangannya ke atas Dusan Lajovic dalam Grand Slam Wimbledon, malam tadi. 

Pemain Switzerland itu akhirnya dapat melepasi pusingan kedua dengan mengatasi Lajovic 7-6 (7-0), 6-3, 6-2 di All England Club. 

Begitupun, selepas mempamerkan rentak perlahan, juara Grand Slam sebanyak 18 kali itu dengan tujuh gelaran Wimbledon berjaya mengetepikan perasaan gemuruhnya.

"Secara tiba-tiba, saya seperti sedang menuju ke bilik persalinan selepas sesi memanaskan badan yang menimbulkan rasa teruja dan gemuruh," katanya. 

"Kemudian ketika saya melangkah ke gelanggang, ia masih dirasai dan tidak hilang selepas memanaskan badan. 

"Ketika ketinggalan 7-6 dalam set pertama, ia masih tidak hilang. Secara jujurnya, saya memerlukan sedikit masa untuk mengatasinya. 

"Dalam pusingan pertama, saya langsung tidak berasa gemuruh. Jadi, saya berpendapat saya akan berasa lebih baik dalam pusingan ketiga. 

"Agak janggal apabila ada masanya anda akan berasa lebih gugup dalam pusingan kedua berbanding dalam aksi final, misalnya. 

"Saya gembira dapat melepasi halangan ini dengan perasaan seperti ini kerana adalah pelik beraksi dalam keadaan di mana anda berasa penuh ketegangan. 

"Saya tidak rugi apa-apa dan berpesan kepada diri sendiri supaya bermain dengan bebas. Ia bukan mudah sebaik sahaja anda turun beraksi."

Federer akan meneruskan pemburuan gelaran Wimbledon kelapannya apabila berdepan pemain Jerman, Mischa Zverev, dalam pusingan ketiga. 

Ditanya sama ada dia gembira dengan beraksi dalam kejohanan ini, Federer berkata ia adalah satu pertarungan di mana dia mengalu-alukan perasan gemuruh dalam pertandingan. 

"Ia mungkin kerana kejohanan ini," tambahnya. 

"Malah ketika menuju keluar dari gelanggang, saya berasa, 'oh, satu lagi perlawanan di mana saya berasa gemuruh sebelum pertarungan.' Saya tidak menggemarinya. Tetapi itulah yang terjadi.

"Ia akan menjadi lebih baik sebaik sahaja saya turun beraksi. Saya mengambil sedikit masa untuk mengatasinya. Saya sentiasa mengatakan apabila saya berasa gemuruh, saya mengambil berat dan ia adalah sesuatu yang hebat.

"Ketika berlatih, anda tidak akan berasa gemuruh seperti ini kerana tidak kira sama ada anda beraksi buruk atau apa sahaja. Selagi anda berlatih dengan betul, ia sepatutnya akan berjalan dengan baik." 

 

Advertisement

Must Watch Video