Skip to main content

Advertisement

Sukan Asia

Elak provokasi berulang -- Syed Saddiq dapatkan kerjasama Jakarta

syed-saddiq.jpg
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi, berhubung insiden provokasi penonton yang membahayakan keselamatan pemain negara demi memastikan insiden sama tidak berulang.

Syed Saddiq akan ke Indonesia  hari ini atas urusan rasmi, namun akan mengambil kesempatan untuk berbincang mengenai kontroversi yang berlaku dalam perlawanan separuh akhir Indonesia-Malaysia dalam Kejohanan AFF B-19 di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, malam tadi.

Malaysia memenangi perlawanan itu 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti setelah permainan masa sebenar terikat 1-1. Ia mencetuskan kekacauan penyokong tuan rumah yang membaling pelbagai objek, termasuk batu, ke atas pemain dan pegawai pasukan Malaysia selepas perlawanan berakhir.

Dengan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang semakin hampir, Syed Saddiq melihat pertemuan itu sebagai penting bagi memastikan isu sama tidak berulang, terutama membabitkan atlet-atlet negara.

"Saya akan ke Indonesia malam ini dan akan berjumpa dengan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia serta Presiden Indonesia, Joko Widodo, esok. 

"Saya akan bangkitkan isu ini supaya insiden ini tidak berulang, khususnya kontinjen kita akan ke sana dalam Sukan Asia," katanya. 

Bagaimanapun, Kerajaan Malaysia tetap akan bertegas dalam perkara ini kerana ia melibatkan soal keselamatan atlet negara, tidak kira di mana jua mereka berada.

"Saya akan memaklumkan menerusi siaran media nanti mengenai tindakan susulan kerana yang paling mustahak, atlet kita.

"Mereka adalah wira kita, kita perlu selamatkan mereka, " tambahnya. 

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, ada menghubungi Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Joko Driyono, sejurus insiden berkenaan.

Hamidin, bagaimanapun, memberi jaminan tidak akan memandang sebelah mata isu terbabit, namun akan menunggu terlebih dahulu laporan komisioner perlawanan dan pengadil sebelum membuat apa-apa tindakan.

"Sudah tentu FAM khuatir keselamatan pemain Malaysia. Saya sudah meminta Joko Driyono supaya meningkatkan kawalan keselamatan pemain Malaysia semasa di hotel dan sesi latihan hari ini serta perlawanan akhir malam esok," kata Hamidin. 

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Norza Zakaria, pula berkata," Saya berharap  satu laporan perlu dibuat, terutama kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk siasatan. Sekiranya perkara itu bertentangan dengan prinsip kesukanan, (maka) tindakan perlu diambil."  

"Saya meletakkan faktor keselamatan penting untuk atlet kita, bukan sahaja bola sepak. 

"Perlawanan bola sepak malam tadi melibatkan dua pasukan sahaja, di antara Indonesia dan Malaysia tetapi bagi Sukan Asia, semua mata akan tertumpu kepada Indonesia.

"Jadi, saya harap peristiwa seperti ini tidak lagi berlaku," kata chef-de-mission negara ke Sukan Asia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi. 

Advertisement

Must Watch Video