Jaguh ekuestrian, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil, menghadiahkan pingat perak kepada negara dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 menerusi acara dressage individu di Taman Ekuestrian Antarabangsa Jakarta, hari ini.
Mohd Qabil menampilkan tunggangan cemerlang bersama kuda bernama Rosenstolz apabila mengutip 76.620 mata, namun gagal menyaingi kehebatan atlet Hong Kong, Jacqueline Wing Ying Siu, yang merangkul emas selepas meraih 77.045 mata.
Gangsa menjadi milik atlet Korea Selatan, Kim Hyeok, yang mengumpul 75.705 mata.
Advertisement
Atlet negara berusia 38 tahun itu menduduki tempat teratas dalam saingan pusingan awal yang berlangsung kelmarin.
Ia merupakan perak kedua Malaysia dalam temasya sukan terbesar di Asia ini yang memasuki hari kelima selepas skuad sepak takraw kebangsaan menghadiahkan perak dalam acara regu berpasukan, semalam.
Untuk rekod, Mohd Qabil meraih gangsa dalam acara itu pada edisi 2006 di Doha dan 2010 di Guangzhou.
-- BERNAMA
Imej: Asiana