Skip to main content

SUKMA

Dua sukan wajib, empat sukan tambahan disahkan untuk Sukma Selangor 2026

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

sukma-malaysia.jpg
Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Hannah Yeoh telah memuktamadkan beberapa keputusan penting berkaitan penganjuran Temasya SUKMA 2026 yang akan dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Dua sukan, iaitu tinju dan sofbol, telah dipilih sebagai dua sukan wajib tambahan untuk SUKMA berkuatkuasa dengan temasya di Selangor pada 2026. Ia menjadikan jumlah keseluruhan sukan wajib kepada 30 jenis sukan.

Selain itu, empat (4) sukan tambahan diluluskan untuk SUKMA 2026, menjadikan keseluruhan 34 jenis sukan akan dipertandingkan. Lima sukan tambahan tersebut ialah :

• Catur
• E-Sukan
• Kriket
• Kabaddi

Keputusan ini adalah muktamad dan tiada lagi rayuan penambahan akan dipertimbangkan, bagi memastikan penganjur mempunyai tempoh yang mencukupi untuk membuat persiapan rapi menjelang temasya yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 24 Ogos 2026 di sembilan daerah seluruh negeri.

Dalam pada itu, isu kekurangan penyertaan atlet wanita dan pegawai teknikal wanita dalam temasya SUKMA 2024 di Sarawak telah mendapat perhatian serius dan beberapa cadangan telah dikemukakan serta dipersetujui oleh semua pihak dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA dalam usaha menangani perkara tersebut.

Antara pendekatan yang akan dilaksanakan ialah:

• Penganjuran 3 kursus teknikal & kejurulatihan wanita pada tahun 2025 dan 5 kursus lagi pada tahun 2026.
• Setiap kontinjen negeri wajib melantik sekurang-kurangnya seorang Ketua atau Timbalan Ketua Kontinjen wanita.
• Pelaksanaan kuota minimum 20% pegawai sokongan wanita dalam urusetia dan perubatan kontinjen.
• Sasaran penyertaan sekurang-kurangnya 30% sukarelawan wanita dan 20% pegawai teknikal wanita.
• Setiap pasukan wanita atau acara yang memerlukan pemeriksaan fizikal wajib mendaftarkan sekurangkurangnya seorang pegawai wanita.

Bagi acara terbuka, penyertaan atlet daripada jantina berbeza akan diwajibkan. Selain itu, acara sukan yang tersenarai dalam Sukan Olimpik akan tetap dijalankan walaupun tidak mencapai penyertaan minimum atlet wanita, berbeza daripada peraturan terdahulu.

Mesyuarat hari ini turut meluluskan penyertaan rasmi Kontinjen Negara Brunei Darussalam dalam SUKMA 2026. Jenis dan jumlah sukan yang akan disertai akan ditentukan oleh Jawatankuasa Khas Teknikal SUKMA dalam masa terdekat.

Terdahulu, pada Mesyuarat Exco Belia dan Sukan NegeriNegeri yang diadakan sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA hari ini telah bersetuju bermula edisi 2026,
penyertaan negeri ke Sukan Para SUKMA akan diuruskan oleh Majlis Sukan Negeri, menggantikan Jabatan Belia dan Sukan Negeri.

Langkah ini bertujuan memperkemas pengurusan bakat dan persiapan atlet Para di peringkat negeri secara lebih strategik dan berfokus.

Advertisement

Must Watch Video