Senarai pemain skuad futsal negara untuk menghadapi Kejohanan AFF di Bangkok pertengahan bulan ini telah dimuktamadkan jurulatih, Chiew Chun Yong, selepas menggugurkan dua pemain hari ini.
Dua pemain yang digugurkan Chun Yong adalah Mohd Syafiq Hamzah dan Muhammad Amirul Sugito.
Sebelum ini, 16 pemain berada dalam kem latihan fasa akhir skuad negara dengan hanya 14 pemain boleh didaftarkan bagi Kejohanan AFF.
Meskipun kedua-dua pemain ini digugurkan, Chun Yong tidak menolak mereka masih berpotensi untuk mewakili negara pada masa akan datang.
"Kedua-duanya merupakan pemain yang berpotensi. Jadi, dalam pembentukan skuad akan datang, sudah pasti mereka akan disenaraikan.
"Ini kerana kami mempunyai tempoh pendek untuk membentuk pasukan tetapi sudah pasti mereka akan dipanggil pada masa akan datang kerana mereka cukup berpotensi," katanya.
Skuad negara melengkapkan aksi persahabatan tempatan dengan keputusan 4-4 menentang Pahang, hari ini.
Sebelum itu, mereka turut menjalani program bina semangat selama empat hari di Pulau Pinang.
Menyasarkan peringkat separuh akhir dalam Kejohanan AFF, skuad kendalian Chun Yong akan berlepas ke Bangkok pada Ahad dengan tiga lagi aksi persahabatan dijadualkan di sana.
"Mereka tidak bermain sebaik mungkin kerana mereka agak keletihan. Mereka belum cergas sepenuhnya selepas kembali dari Pulau Pinang.
"Namun, secara keseluruhan mereka bermain dengan cukup baik," tambahnya.