Skip to main content

Sukan Lain

Diangkat seperti raja, disisih seperti tiada nilai

16218.jpg
Keterbatasan individu yang kurang bernasib baik perlu dilihat daripada sudut berbeza.

Merujuk kepada kemunculan atlet para negara yang mula diberikan perhatian, apakah nasib yang harus diterima apabila kudrat mereka tidak lagi mampu memenuhi tuntutan bidang yang diceburi?

Itulah hakikat yang dilalui 'atlet luar biasa ini' dan hakikatnya mereka seperti terbuang apabila tiba waktunya.

Diangkat seperti raja, disisih seperti tiada nilai sebaik kudrat mereka sudah tidak diperlukan lagi.

Pedih untuk diungkapkan, namun itulah hakikat yang perlu diterima.

Selepas berkorban seluruh hidup demi hasrat untuk mengharumkan nama negara, mereka hampir terlupa semua itu hanya bersifat sementara.

Ditambah dengan peredaran waktu, usia dan persaingan menjadi punca, tiada lagi tempat untuk mereka apabila tiba waktunya -- merujuk kepada keputusan pengguguran atlet daripada Program Podium yang gagal menyerlah bagi musim 2017.

Antara nama yang menjadi perhatian ialah pemanah yang menyumbang pingat perak dalam saingan Paralimpik London 2012, Hasihin Sanawi, Faizal Aediel Suhaimi, Raduan Emeiri dan Abu Samah Borhan yang pernah beraksi dalam Sukan Paralimpik Rio 2016.

"Kriteria seperti komitmen, kedatangan latihan dan motivasi juga memainkan peranan. Ia bergantung kepada bagaimana mereka menerima latihan ditetapkan jurulatih dan pedekatan sains sukan.

"Kami melihat kepada keseluruhan aspek, faktor umur, masalah kecederaan dan peningkatan prestasi.

"Daripada penilaian itu, kami melihat adakah mereka berpotensi untuk pingat, contohnya emas dalam Sukan Komanwel," jelas Pengarah Program Podium, Tim Newenham.

Terdapat dalam kalangan mereka yang masih muda dan memiliki peluang untuk terus menyumbang keringat demi mempertaruh prestasi terbaik untuk kemunculan semula di peringkat tertinggi.

Bagaimana pula dengan ateit yang sudah melebihi tempoh prestasi mereka, cabaran baru menanti dalam bidang yang berbeza, adakah mereka benar-benar bersedia ditambah dengan kelainan upaya yang dimiliki?

"Tetapi pihak jawatankuasa melihat lebih kepada masa depan mereka untuk membuktikan pencapaian sebenar dalam kejohanan sepatutnya lebih tinggi daripada Sukan Para ASEAN.

"Ia bagi membolehkan mereka dipilih masuk ke dalam program," kata Pengarah Cawangan Paralimpik, Majlis Sukan Negara (MSN), Safrushahar Yusof.

Cuma dalam konteks membabitkan atlet para, satu cabang yang perlu difikirkan, apa lagi pilihan dan hala tuju yang ada pada mereka jika keseluruhan hidup mereka sebelum ini hanya tertumpu dalam bidang sukan semata-mata.

Advertisement

Must Watch Video