Ketua jurulatih hoki wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah enggan terlalu gembira dengan sembilan gol yang dijaringkan oleh anak buahnya ke atas Hong Kong dalam aksi kumpulan pusingan kedua Liga Hoki Dunia.
Kemenangan 9-0 ke atas Hong Kong semestinya keputusan yang membanggakan dan tidak dijangka oleh Dharma.
Namun, dia sama sekali enggan mementingkan jumlah jaringan kerana apa yang paling utama adalah kemenangan dan aksi hebat yang dipamerkan anak buahnya untuk berada di tangga kedua Kumpulan B ketika ini.
Bagi Dharma, perlawanan menentang Hong Kong masih lagi belum cukup untuk membuktikan kehebatan skuad negara sehinggalah mereka berdepan skuad Ireland pada Isnin ini.
"Keputusan 9-0 merupakan sesuatu yang mengejutkan kami, kami tidak mengharapkan banyak gol kerana apa yang penting adalah meraih mata yang berharga," ujar Dharma.
Bagi pengendali Hong Kong, Arif Ali, dia menyifatkan barisan pemainnya tidak mendapat rehat yang secukupnya selepas tiba di Malaysia sekali gus gagal untuk menterjemahkan sebarang gol.
"Saya berasakan pemain kami kepenatan kerana tiba di Malaysia awal pagi tadi, ia merupakan salah satu punca kami banyak melakukan keputusan yang salah dan Malaysia telah menghasilkan aksi yang cemerlang dalam perlawanan ini," jelas Arif.