Skip to main content

Hoki

Dhaarma puji keazaman anak buah buru gol

hoki-wanita1c96bc0a3d81604aa734ff0000212b38.jpg

Penggendali hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, memuji aksi anak buahnya yang menampilkan semangat juang yang tinggi untuk mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Thailand dalam saingan suku akhir Liga Hoki Dunia Wanita Pusingan Kedua, malam tadi.

Kekebalan benteng pertahanan Thailand ternyata mencemaskan barisan penyerang negara dalam pertemuan itu.

Namun, Malaysia tetap dapat menyerap segala tekanan dan beraksi dengan baik sepanjang 60 minit.

Dhaarma juga menyangkal dakwaan bahawa corak permainan anak buahnya merosot, sebaliknya berasakan mereka bijak untuk memanipulasi pihak lawan yang berkampung di kawasan sendiri.

"Pada saya, pemain saya bermain dengan cukup baik. Mereka belajar cara untuk menang dengan berkesan. 

"Kamu tidak boleh berkata pemain saya tidak bermain dengan baik, pada saya ini adalah persembahan terbaik daripada mereka," tegasnya.

Malaysia yang kebuntuan gol dalam suku pertama dan kedua akhirnya membuka tirai jaringan menerusi kapten, Siti Noor Amarina Ruhani, pada minit ke-38 menerusi pukulan sudut penalti.

Dua gol lagi hadir menerusi Noorazlin Sumantri dan Nuraini Abdul Rashid.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada barisan serangan kerana berjaya menyumbang gol pembukaan.

"Disebabkan gol pertama itu, tekanan yang dirasai mulai kurang dan kami mampu meneruskan permainan kami," jelas Siti Noor Amarina.

 

Advertisement

Must Watch Video