Tamat kempen Liga Hoki Dunia Wanita, pengendali skuad wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, sudah mula meletakkan misi baru untuk melayakkan diri ke saingan Piala Dunia 2018 di London.
Format baru kelayakan ke Piala Dunia yang diumumkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada 2015 menetapkan 16 pasukan akan bersaing berbanding hanya 12 pasukan pada masa lalu.
Enam slot akan diberikan kepada setiap juara benua dan tuan rumah Piala Dunia manakala 10 lagi slot akan ditentukan ketika aksi separuh akhir Liga Dunia Wanita yang berlangsung Jun depan.
"Seperti yang diketahui, saingan Piala Dunia Wanita akan membariskan 16 pasukan buat pertama kali.
"Kami memiliki peluang kerana 10 pasukan akan beraksi di Belgium dan 10 lagi di Afrika Selatan. Kami hanya perlu untuk memenangi satu perlawanan dan tidak mustahil untuk melayakkan diri ke Piala Dunia," kata Dhaarma.
Justeru, peluang Malaysia untuk ke Piala Dunia tetap ada memandangkan mereka telah pun menempah slot ke separuh akhir Liga Dunia Wanita.
Selain Malaysia, 14 negara lain akan turut beraksi, antaranya Sepanyol, Belanda, New Zealand dan China.
Dhaarma juga dalam perancangan untuk memperbanyakkan lagi perlawanan persahabatan dengan pasukan Eropah sebagai persiapan Malaysia menghadapi kejohanan itu.
"Skuad wanita perlu ke Eropah selama dua bulan untuk bersaing dengan pasukan yang mendominasi sukan ini bagi mempertingkatkan mutu permainan kami."