Skip to main content

Sukan Lain

Delia yakin Rachel, Sivasangari mampu teruskan legasi skuasy negara

050117-delia-arnold.jpg
Pemain skuasy wanita negara, Delia Arnold, percaya adiknya, Rachel Arnold, dan S. Sivasangari adalah antara yang terbaik dan mampu menyinar dalam arena skuasy selepas dia mengambil keputusan untuk bersara. 

Persaraan pemain nombor dua negara itu memberi tamparan hebat buat Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) tatkala prestasi ratu skuasy, Datuk Nicol David, tidak menentu selain masih tercari-cari atlet pelapis terbaik. 

Bagaimanapun, Delia tidak menganggap Malaysia bakal ketandusan pemain hebat selepas persaraannya kerana percaya akan kebolehan adiknya sendiri, Rachel dan juga juara Remaja Asia 2016, Sivasangari. 

Baginya, inilah masa yang tepat untuk Malaysia menggilap bakat atlet pelapis dengan lebih serius. 

"Pintu untuk saya kembali sentiasa terbuka kerana SRAM mahu saya membimbing bakat-bakat muda. 

"Mungkin saya akan mempertimbangkannya," kata Delia. 

Misi besar yang masih belum dicapai Delia sebelum menggantung raket adalah ingin berada di ranking ke-10 terbaik dunia. 

Meskipun sudah menghampiri sasaran itu dengan kedudukan ke-17 dunia ketika ini, Delia tidak menganggap ia satu kerugian besar kerana keputusan bersara adalah yang terbaik untuknya selepas hampir 20 tahun menabur bakti buat negara. 

"Ini adalah satu keputusan yang sukar buat saya. Tapi saya dah fikir banyak kali dan membuat keputusan. 

"Ini masa terbaik untuk saya bersara dan berasakan sudah tiba masanya."
 

Advertisement

Must Watch Video