Bekas pemain skuasy wanita negara, Delia Arnold, yang mengejutkan arena sukan negara apabila mengumumkan persaraan awal bulan ini, mengakui motivasi dan keghairahannya terhadap sukan itu semakin merosot.
Dalam temubual oleh Edleen Ismail dalam Nadi@1, Delia mendedahkan pelbagai faktor memainkan peranan di sebalik keputusannya untuk berundur.
Kini berusia 30 tahun, Delia -- yang menghabiskan hampir 13 tahun di pentas elit -- berasakan sudah tiba masanya dia menghabiskan masa untuk dirinya sendiri dan bukan lagi berkorban demi sukan skuasy.
"Saya telah mengorbankan banyak perkara demi skuasy. Demi mengekalkan disiplin yang tinggi, saya terpaksa mengelak daripada bersosial dengan kawan-kawan sehingga saya dapat berasakan kehilangan sahabat," jelasnya.
Bagimanapun, di sebalik semua itu, Delia masih mampu mengundurkan diri dengan rasa bangga, apatah lagi berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
Di samping kejayaan menghuni ranking ke-17 dunia, Delia turut mencipta kejutan dalam Terbuka British 2015 apabila berjaya menewaskan beberapa pemain ternama sebelum terkandas di peringkat separuh akhir.
Delia mengejutkan Allison Waters, Annie Au dan Raneem El Welily sebelum tewas di tangan Camille Serme dalam separuh akhir.
Ditanya mengenai perkembangan Datuk Nicol David yang masih berjuang di pentas antarabangsa, Delia melihat ikon skuasy negara itu sebagai contoh terbaik buat pemain muda.
"Dia mengajar saya dan pemain lain untuk tidak mudah berputus asa. Dia telah memberikan banyak tunjuk ajar kepada kami."
Delia mengakui meskipun sudah bersara, terdapat ramai pelapis muda yang akan meningkat naik, apatah lagi dalam mencabar dominasi pemain Mesir.
"Pemain Mesir bermula pada usia yang sangat muda, dan sudah pun beraksi di peringkat kompetitif," ujarnya.
Kini Delia merancang untuk memberi fokus terhadap keluarganya selepas berkahwin pada 2014 dengan bekas pemain beregu badminton negara, Robert Lin Woon Fui.
Namun, dia mengakui tidak akan meninggalkan sukan skuasy, sebaliknya masih akan terlibat secara tidak langsung.
"Saya akan masih terlibat dengan skuasy, namun bukan secara kompetitif, dan mungkin mencuba sukan baru bersama suami saya."