Skip to main content

Advertisement

Permotoran

Cub Prix: Afif raih kemenangan dramatik

ahmad-afif-amran.jpg
Ahmad Afif Amran mempamerkan aksi cukup bertenaga dan dramatik sebelum menjuarai perlumbaan CP150 Pusingan 2, Kejohanan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 di Litar MAEPS, Serdang, Selangor, hari ini. 

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ itu, yang bermula dari petak ketiga, mengerah seluruh tenaga jenteranya di selekoh terakhir dan bersaing sengit sehingga ke garisan penamat untuk mengakhiri 20 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 15:52.716 saat, hanya berkelebihan 0.028s berbanding Mohd Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor).

Akid, yang menguasai hampir keseluruhan perlumbaan, terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua dengan masa 15:52.744s manakala rakan sepasukan, Kasma Daniel Kasmayudin,  ketiga dengan 15:55.635s.

"Saya memang menanti sehingga ke penghujung perlumbaan untuk cuba memintas Akid kerana yakin jentera saya mempunyai kelebihan. 

"Selepas melihat ada ruang untuk memintas, saya tidak teragak-agak untuk melakukannya dan kami bersaing sengit sehingga ke garisan penamat,” ujar Afif yang kini naik ke tangga teratas keseluruhan dengan 45 mata.

Tambahnya, "Saya gembira dengan kemenangan ini, terutama setelah menewaskan Akid yang menguasai sepenuhnya kesemua sesi sepanjang dua hari perlumbaan minggu ini."

Kasma, yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga, berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 41 mata manakala rakan sepasukan Afif, Mohd Hafiz Nor Azman, ketiga dengan 29 mata.

Sementara itu, gelaran CP115 menjadi milik Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) yang menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa 12:22.820s, diikuti rakan sepasukan, Md Fareez Afeez, dan Md Haziq Fairues (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor), ketiga.

Dua kemenangan berturut-turut meletakkan Tengku Amirul kekal di tangga teratas dengan 50 mata sementara Afeez dan Ahmad Syukran Aizat (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) berkongsi kedudukan dengan 33 mata.

Dalam saingan WIRA KBS, Md Danial Syahmi (SIC Junior Team AFB Tech Racing), meraih kemenangan kedua beruturt-turut untuk mendahului kedudukan keseluruhan dengan 50 mata.

Danial menamatkan 12 pusingan perlumbaan dengan masa 10:08.335s, menewaskan Md Alif Ashraf Tahirudin (PETRONAS Sprinta Yamaha) dengan kelebihan 7.001s, disusuli Md Fadlyshah Redzuan (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) ketiga.

Alif Ashraf berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 36 mata manakala Fadlyshah ketiga dengan 29 mata.

Advertisement

Must Watch Video