Skip to main content

Sukan Lain

Chun Yong gugurkan empat pemain

21617chunyong.jpg
Jurulatih skuad futsal negara, Chiew Chun Yong, menggugurkan empat pemain selepas berakhir kem latihan pusat fasa ketiga semalam untuk Kejohanan Futsal Antarabangsa Persatuan Bolasepak China (CFA) di Hunan, 23-25 Jun ini.

Empat pemain terbabit ialah dua pemain tonggak, Saiful Aula dan Azwann Ismail, serta Awalludin Mat Nawi dan penjaga gol, Syafiq Hamzah.

Mereka diketepikan daripada skuad akhir 14 pemain ke China atas faktor posisi.

Namun, keempat-empat pemain itu akan kembali dipanggil untuk melengkapkan senarai 18 pemain ke kem latihan pusat fasa akhir bermula 3 Julai ini bagi menghadapi Sukan SEA, Ogos depan.

"Ini kem untuk perlawanan latihan, untuk menggunakan strategi. Jadi, tidak semestinya mereka adalah skuad akhir untuk Sukan SEA nanti. Ia perlawanan ujian," kata Chun Yong.

Skuad futsal negara akan mengharungi tiga perlawanan dalam kejohanan itu, menentang Republik Czech untuk aksi pertama, diikuti China sebelum bertemu England untuk perlawanan terakhir.

Mereka berlepas ke China hari ini dan kembali ke tanah air pada Isnin yang juga hari kedua Aidilfitri.

"Pemain yang terpilih memang harus mengorbankan masa bersama keluarga. Perlawanan di sana akan menentukan prestasi kami untuk Sukan SEA. Diharapkan ia pengorbanan yang berbaloi," kata penjaga gol negara, Firdaus Razali.

"Kami sasarkan kemenangan dalam setiap perlawanan. Seperti jurulatih cakap, tidak kisahlah bertemu skuad Piala Dunia, kami harus membuatkan mereka sukar," kata seorang lagi pemain negara, Khairul Effendy Mohd Bahrin.

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video